Sebanyak RM8.4 Juta Diperuntukkan Untuk Pin Jalur Gemilang Kepada 5.14 Juta Pelajar – Fadhlina Sidek
Setiap pelajar menerima dua lencana secara percuma menerusi peruntukan tersebut.
Cover image via BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan memperuntukkan RM8.4 juta bagi pembekalan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG)
Menurut laporan Berita Harian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata setiap pelajar menerima dua lencana secara percuma sebagai sebahagian inisiatif memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara sejak di bangku sekolah.
"Peruntukan ini telah diagihkan kepada semua jabatan pendidikan negeri dan institusi berkaitan pada Februari 2025, dengan kuantiti disesuaikan mengikut bilangan pelajar berdaftar.
"Proses perolehan dilaksanakan oleh jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi melalui sistem ePerolehan secara tender atau sebut harga.
"Bagi mempercepatkan bekalan dan menggalakkan lebih ramai pembekal yang layak, perolehan mengikut zon turut dibenarkan dengan sejumlah 91 pembekal di seluruh negara terbabit dalam penyediaan lencana tersebut," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Fadhlina menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS–Kuala Krai) mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar di bawah institusi Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Image via Fadhlina Sidek (Facebook)Langkah menangani isu keselamatan pelajar dan kerosakan pada pakaian seragam
Jelas Fadhlina, kementerian telah mengeluarkan garis panduan pemakaian lencana Jalur Gemilang namun membenarkan ibu bapa menyediakan lencana tambahan bersaiz sama yang dibuat daripada bahan sesuai.
"Kementerian akan terus memantau pelaksanaan fleksibel pemakaian lencana di semua peringkat pendidikan.
"Inisiatif ini bertujuan menyemai semangat patriotisme dan memupuk kecintaan kepada negara dalam kalangan Generasi Madani," katanya.
Untuk rekod, bermula 21 April lalu, semua pelajar sekolah kerajaan diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah sebagai langkah memupuk patriotisme dan ketahanan nasional.
Peraturan itu susulan satu pekeliling dikeluarkan pada 24 Mac oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, yang menyatakan bahawa pelajar mesti memakai lencana bendera kebangsaan bersaiz 5cm x 2.5cm di bahagian kanan dada.

Gambar sekadar hiasan
Image via Ariff Sarbri/BernamaLike Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



