“Saya Terkejut Dapat Sisa Makanan” – Gelandangan Dakwa Tak Tahu Diri Jadi Bahan Konten
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sekitar Jalan Meldrum pada awal pagi.
Cover image via Berita harianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tular baru-baru ini selepas tiga orang remaja lelaki Cina yang dikecam teruk kerana memberikan seorang gelandangan nasi bersama sisa tulang ayam
Menerusi laporan Harian Metro, gelandangan berkenaan dikenali sebagai Ram (bukan nama sebenar) memberitahu kejadian berlaku beberapa hari lalu ketika dia sedang berehat.
Namun, dia didatangi tiga remaja yang kemudiannya menyerahkan satu bungkusan makanan.
Lelaki berusia 49 tahun itu berkata, dia langsung tidak menyangka kejadian itu dirakam secara diam-diam oleh sekumpulan remaja yang tidak dikenalinya, sebelum dimuat naik ke media sosial.
Meskipun terkejut selepas mendapati bungkusan yang diterimanya hanya berisi sisa makanan, dia tidak memarahi mereka. Sebaliknya, dia tetap mengucapkan terima kasih dengan penuh tenang dan reda.
Semasa kejadian itu, remaja lelaki itu juga memberikannya bungkusan berbeza mengandungi makanan.
"Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian, saya hanya menyedari video tular itu selepas dimaklumkan pengunjung kawasan ini yang turut kecewa dengan perbuatan mereka.
"Saya tidak pasti apa kesilapan saya sehingga mereka berbuat demikian, namun saya hanya memandang positif dan menganggap mereka adik.
"Saya memaafkan perbuatan mereka dan berharap ia tidak berulang kepada gelandangan lain," katanya.

Selepas kejadian ramai penduduk tampil menyerahkan makanan
Bagaimanapun, lelaki yang berasal dari Perak itu mengakui telah lama menjalani kehidupan sebagai gelandangan tanpa pekerjaan tetap.
Dia juga mengakui apa yang diharungi itu sebagai suratan takdir namun tidak pernah menimbulkan masalah kepada orang ramai.
Meskipun hidup serba kekurangan, dia reda menerima nasibnya sebagai ketentuan takdir dan sentiasa berusaha untuk tidak menyusahkan sesiapa di sekeliling.
Tambahnya lagi, dia dimaklumkan bahawa pihak berkuasa kini telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan remaja yang terbabit dalam insiden tular tersebut.

"Saya tiada kaitan dengan tindakan yang diambil pihak berkuasa dan tiada kuasa untuk menghalang, itu antara mereka dan pihak berkuasa.
"Selepas kejadian itu, beberapa penduduk tampil bertemu saya dan menyerahkan bungkusan makanan serta bertanya khabar.
"Malah ada yang memohon maaf atas perbuatan tiga remaja itu," katanya.
Dia juga menjadi perhatian beberapa media dan pempengaruh yang tampil menemubual berkaitan kejadian.
"Saya fikir tiga remaja itu masih muda dan panjang masa depan mereka, biarlah isu ini diselesai dengan baik oleh pihak berkuasa," katanya.
Terdahulu, video berdurasi kurang seminit menunjukkan ketiga-tiga remaja itu menikmati ayam goreng sebelum memasukkan tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada gelandangan terbabit, yang kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih.
Namun, salah seorang daripada mereka mendakwa rakaman itu sebenarnya adalah eksperimen sosial yang telah mendapat persetujuan lelaki gelandangan tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



