“Saya Lelaki Paling Bertuah” – Syed Saddiq Sah Bertunang, Puji Sifat ‘Iron Lady’ Bakal Isteri
Syed Saddiq sedia galas tanggungjawab bapa, harap Ayden dan Ara terima kehadirannya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Teka-teki mengenai status hubungan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akhirnya terjawab apabila beliau secara rasmi mengumumkan pertunangannya dengan penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah
Dalam satu kenyataan yang penuh emosi, Syed Saddiq meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga dan menyifatkan dirinya sebagai insan paling bertuah kerana dapat mengenali sisi sebenar wanita yang sering digelar sebagai 'Iron Lady' Malaysia itu.
Menurut Syed Saddiq, hubungan yang terjalin membolehkan beliau melihat kekuatan dalaman Bella yang jarang diperlihatkan kepada umum. Walaupun ramai mengenali Bella sebagai seorang yang kental, Syed Saddiq melihatnya sebagai wanita yang tidak pernah mengenal erti lelah dalam mencari kebahagiaan.
"Ramai mungkin kenal dia sebagai iron lady, tetapi saya berpeluang melihat sisi lain dirinya. Dia seorang wanita yang tidak pernah faham erti penat. Dalam setiap kepayahan, jatuh dan bangunnya, dia berusaha sendiri untuk bangkit semula," ujar beliau.
Syed Saddiq turut menambah bahawa sifat kebaikan Bella adalah sesuatu yang sangat istimewa dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Perkataan 'baik' itu memang tidak dapat dipisahkan daripadanya. Dia baik terhadap keluarga, adik-beradik, keluarga saya dan orang sekeliling," katanya lagi.

Cinta berputik daripada persahabatan
Mengulas mengenai detik permulaan hubungan mereka, Syed Saddiq mengakui segalanya bermula daripada sebuah persahabatan yang ikhlas sebelum berkembang menjadi perasaan cinta yang serius.
Beliau turut melahirkan kekaguman terhadap naluri keibuan Bella yang sangat penyayang terhadap anak-anak, yang mengingatkan beliau kepada kasih sayang ibu bapanya sendiri.
Bukan sekadar mencintai Bella, Syed Saddiq turut menyatakan komitmennya untuk menyayangi dua cahaya mata Bella, Ayden Adrean dan Ara Adreanna. Beliau berharap agar kehadirannya dapat diterima dengan baik dalam kehidupan anak-anak tersebut.
"Saya menyayanginya bukan hanya kerana dirinya, tetapi juga kerana anak-anaknya. Saya berharap mereka dapat menerima saya. Mereka berdua adalah anak-anak yang sangat mengagumkan," katanya dengan penuh harapan.
Mengakhiri ucapannya, Syed Saddiq merakamkan penghargaan buat kedua-dua belah keluarga atas sokongan padu yang diberikan sepanjang hubungan ini dibina. Beliau turut memohon doa daripada orang ramai agar fasa pertunangan ini dipermudahkan sehingga ke hari pernikahan.
"Teruskan berdoa untuk kami. Semoga perjalanan ini yang bermula dengan pertunangan akan berakhir dengan pernikahan yang diberkati," ulasnya menutup bicara.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 