“Saya Datang Nak Selamatkan Perkahwinan” – Kamal Adli Tak Sangka Konflik Sampai Ke Mahkamah
Semoga Kamal & Uqasha dipermudahkan urusan dan dapat berbaik semula.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelakon Kamal Adli akhirnya tampil di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding kes perceraian dengan isterinya, pelakon Uqasha Senrose, sambil mengakui tidak menyangka rumah tangga mereka akan sampai ke peringkat ini
Menurut laporan Kosmo!, Kamal, 39, berkata dia hadir ke mahkamah bukan untuk menamatkan hubungan, sebaliknya dengan niat untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
"Saya memang tak okey (sepanjang tempoh situasi perceraian), tapi cuba (untuk okey), tak sangkalah sampai pengakhirannya ke sini (mahkamah). Saya sangat sayang sebenarnya.
"Saya berdebar sebenarnya. Saya tak pernah sampai tempat-tempat macam ni. Jadi saya tengah cuba nak overcome (tangani). Benda ini sangat tak seronok untuk saya. Saya tak gembira pun untuk sampai sini sebenarnya. Hanya mahu selamatkanlah. Saya harap yang terbaik. Saya datang pun dengan niat baik sudah semestinya datang nak selamatkanlah (perkahwinan).
"Memang tanggungjawab saya datang kat sini hari ini. Macam hari itu tak dapat nak datang sebab saya ada masalah sikit, saya ada kerja. Jadi hari ni saya datang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah. Insya-Allah, doakan baik-baik saja," katanya.

Kamal juga mendedahkan bahawa dia tidak dapat berhubung secara langsung dengan Uqasha sejak talian telefonnya disekat sejak 27 September lalu
"Saya disekat sejak 27 September lalu, lama dah fahamlah perempuan merajuk. Saya hanya berkomunikasi melalui peguam, adalah sekatan-sekatan yang dilakukan.
"Ada beberapa 'roadblock (sekatan) yang susah nak sampai. Jadi terpaksa kita orang hanya melalui surat-menyurat saja.
"Macam zaman dulu kan? Mungkin saya hantar pakai burung lepas ni," katanya lagi.
Dalam pada itu, peguam syarie Uqasha dilaporkan tarik diri

Dalam perkembangan sama, peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili pelakon itu atas sebab profesional.
"Alasan tarik diri adalah isu profesionalisme antara peguam dan anak guam. Dia (Uqasha) maklum kita akan tarik diri. Saya akan failkan (tarik diri) selepas prosiding hari ini," ujarnya.
Berikutan itu, Uqasha kini tidak diwakili mana-mana peguam, sementara Kamal diwakili oleh peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali kemudiannya menetapkan tarikh 19 November ini bagi sebutan semula kes perceraian pasangan selebriti berkenaan.
Terdahulu, spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan popular itu mula tercetus sejak April lalu apabila Uqasha didakwa tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan berpindah ke rumah ibunya

Pelbagai hantaran di media sosial oleh Uqasha turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengaitkannya dengan pergolakan rumah tangga.
Untuk rekod, Uqasha Senrose, 32, memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 