Sanggup Naik Kereta Api Dari Perlis Ke Penang, Penuntut Universiti Ditangkap Berkhalwat Di Kedah
Ketika itu wanita terbabit memakai baju tidur serta menutup kepala dengan tuala.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sepasang kekasih dicekup berkhalwat di sebuah rumah sewa di Kulim Hi Tech oleh Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) pada jam 12.55 tengah malam Jumaat lalu
Menurut laporan Harian Metro, pasangan itu didapati mengambil kesempatan atas ketiadaan rakan serumah wanita terbabit untuk bermalam bersama.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad, menyatakan bahawa selepas pintu diketuk dan salam diberi, wanita berusia 24 tahun itu membuka pintu kira-kira lima minit kemudian dan membenarkan pemeriksaan dilakukan di rumah teres dua tingkat tersebut.

Dari Penang ke Kedah untuk ke rumah sewa wanita berkenaan
Beliau menambah, ketika wanita 24 tahun itu membuka pintu, dia didapati hanya memakai baju tidur sambil kepalanya ditutup dengan tuala.
"Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki yang bersembunyi di bilik sebelah yang pintunya berkongsi bilik air dengan biliknya.
"Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu bukanlah pasangan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan kegiatan maksiat di rumah itu," katanya.
Anwar Sharifudin berkata, pasangan terbabit mengaku mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun lalu ketika sama-sama menuntut di universiti.

Beliau turut mengesahkan lelaki itu kini masih menuntut di universiti yang sama dan dijangka tamat pengajian tahun akhir dalam tempoh dua bulan lagi.
"Pelajar lelaki berusia 25 tahun itu berasal dari Pahang dan sanggup datang dari Perlis menggunakan perkhidmatan keretapi untuk datang ke sini sebelum dijemput wanita terbabit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang sebelum dibawa ke rumah itu.
"Rumah itu disewa wanita itu bersama tiga rakannya namun ketika kejadian rakan-rakannya tiada di rumah dan kesempatan itu diambil untuk membawa masuk lelaki berkenaan.
"Wanita itu yang berasal dari Kelantan itu bekerja di sebuah kilang di Hi Tech sejak empat bulan lalu," katanya.
Susulan penahanan itu, Anwar Sharifuddin berkata, pasangan tersebut ditahan kerana disyaki berkhalwat. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



