Rumah Sudirman Kini Tinggal Tapak & Semak, Penduduk Mahu Dibina Semula Jadi Galeri
Penduduk berharap ada usaha daripada pihak berkaitan untuk membangunkan semula tapak kediaman tersebut sebagai galeri atau lokasi warisan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rumah Allahyarham Sudirman Arshad yang terletak di Kampung Tok Embun, Temerloh kini hanya tinggal kenangan apabila kediaman tersebut dilaporkan sudah roboh dan dipenuhi semak samun
Menurut laporan Berita Harian, walaupun sudah lebih tiga dekad pemergian penyanyi tersohor negara itu, masih ramai peminat sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melihat rumah kelahirannya.
Namun, hasrat mereka sering bertukar hampa apabila dimaklumkan rumah berkenaan tidak lagi wujud. Tinjauan mendapati hanya tinggal beberapa pelapik tiang dan sisa tangga batu di tapak kediaman itu. Malah, laluan untuk ke lokasi rumah tersebut juga agak sukar dilalui.

Seorang penduduk kampung, Mira Edora Ahmad Naser, 35, berkata pelancong luar kerap singgah di rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman arwah untuk bertanya arah
"Saya hanya tunjuk arah rumah Sudirman dan maklum kediaman itu sudah roboh serta tiada penghuni. Ramai dalam kalangan mereka kecewa kerana rumah kelahiran penyanyi tersohor itu terbiar dan tidak dibaik pulih.
"Saya sebagai anak jati Temerloh bangga kerana Allahyarham adalah orang di sini tetapi pada masa sama sedih sebab kawasan rumah penyanyi terkenal itu terbiar dan roboh," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Nur Arif Bahrin, 33, turut meluahkan rasa sedih melihat keadaan rumah penyanyi yang pernah mengharumkan nama Malaysia itu.
"Walaupun saya duduk di sini tapi saya sendiri sebenarnya tak tahu mana satu rumah Sudirman. Cuma saya difahamkan rumah penyanyi itu berada di Kampung Tok Embun dan generasi selepas ini pasti akan melupai asal usul Allahyarham," katanya.

Bagi Mohd Amirul Hafiz Rahman, 33, kediaman itu sepatutnya dipelihara dan dijadikan galeri sebagai tanda penghargaan terhadap jasa Allahyarham.
"Pihak bertanggungjawab sepatutnya baik pulih rumah itu dan kumpul semua rekod kejayaan Allahyarham dan pamerkan untuk tatapan masyarakat khususnya generasi akan datang.
"Kejayaan beliau boleh menjadi motivasi masyarakat khususnya anak muda tetapi sedih pihak yang berkenaan tidak fikir ke arah itu," katanya.
Rata-rata penduduk berharap ada usaha daripada pihak berkaitan untuk membangunkan semula tapak kediaman tersebut sebagai galeri atau lokasi warisan, agar legasi Sudirman terus dikenang dan menjadi inspirasi buat generasi baharu.
Untuk rekod, Sudirman dilahirkan pada 25 Mei 1954 dan meninggal dunia pada 22 Februari 1992. Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cenggal, Temerloh.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 