Rosmah Menang Saman, Lelaki Kena Bayar RM100,000 Kerana Tuduh Amal Ilmu Hitam Di TikTok
Lelaki itu mendakwa isteri bekas Perdana mengamalkan ilmu hitam dan bomoh, dua tahun lalu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pengguna TikTok diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor
Menurut laporan Harian Metro, fitnah tersebut mendakwa isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengamalkan ilmu hitam dan bomoh, yang kemudian membawa kepada tindakan saman oleh Rosmah selaku plaintif.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan saman tersebut selepas defendan gagal mengemukakan memorandum kehadiran dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.
Ketika membaca keputusan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang dibuat secara dalam talian menerusi Zoom, Shahrir berkata, plaintif berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu.
"Selepas mempertimbangkan semua perkara, mahkamah ini berpendapat bahawa jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 adalah suatu penilaian yang adil dan seimbang.
"Jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 ini merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
"Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong pemberian itu," katanya.

Datin Seri Rosmah Mansor.
Image via Harian MetroSerangan terhadap maruah plaintif dari segi integriti agama dan nilai moral
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh turut memerintahkan Ku Muhammad Hilmie, 35 tahun diarah membayar kos tambahan sebanyak RM20,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor.
Namun begitu, mahkamah menolak permohonan ganti rugi teladan yang dimohon oleh Rosmah kerana tiada bukti kukuh dikemukakan bagi menyokong tuntutan tersebut.
Dalam penghakimannya, hakim menyatakan bahawa dakwaan fitnah yang dibuat oleh defendan memberi gambaran seolah-olah Rosmah terlibat dalam amalan ghaib, termasuk dikaitkan dengan unsur spiritual dan bomoh, sesuatu yang jelas menjejaskan reputasi dan imej plaintif di mata masyarakat.
"Ini adalah serangan terhadap maruah plaintif dalam aspek integriti agama dan kedudukan moral.
"Dalam konteks masyarakat yang mementingkan nilai agama dan kesopanan moral, dakwaan sebegini amat serius dan berpotensi menjejaskan reputasi dengan ketara," katanya.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjelaskan bahawa beliau mengambil kira kecenderungan kehakiman semasa yang mengutamakan pemberian ganti rugi bersifat sederhana dan berunsur pampasan, bukannya untuk menghukum defendan secara keterlaluan.
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun Rosmah kini sedang merayu sabitan bersalah berkaitan kes projek hibrid solar RM1.25 bilion, penilaian terhadap tuntutan fitnah ini perlu dibuat secara berasingan dan tidak dipengaruhi oleh sabitan tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Rosmah diwakili oleh peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharuden Mohamed Ariff.
Hakim turut menyatakan bahawa Rosmah memiliki kedudukan sosial yang tinggi sebagai isteri kepada Perdana Menteri keenam Malaysia, selain mempunyai kelayakan akademik yang baik, faktor yang turut diambil kira dalam keputusan mahkamah.
"Kerjaya profesional awalnya termasuk sebagai eksekutif di Bank of Thailand dan Bank Negara Malaysia sejak 1975.
"Plaintif juga aktif dalam inisiatif kebajikan dan kesejahteraan serta bertindak sebagai penaung pelbagai badan bukan kerajaan dan yayasan termasuk Program Permata Pintar," katanya.
Terdahulu, Rosmah memfailkan saman itu pada 19 September 2023, mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif.
Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti membabitkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 