Roblox, GTA & Among Us Antara 10 Game Dalam Kajian Kerajaan Untuk Dilesenkan
Fahmi menyeru agar ibu bapa sentiasa pantau aktiviti dalam talian anak-anak dengan lebih dekat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Komunikasi kini giat menilai mekanisme kawal selia baharu bagi memastikan platform permainan dalam talian dan aplikasi media sosial lebih selamat, khususnya buat golongan bawah umur
Menerusi laporan Berita Harian, menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu dilaksanakan susulan kebimbangan semakin meningkat terhadap keselamatan kanak-kanak dalam talian, termasuk kes terbaharu melibatkan aplikasi permainan popular Roblox.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pendekatan paling berkesan untuk memperkukuh perlindungan digital bagi pengguna muda yang semakin terdedah kepada kandungan berisiko dan interaksi dalam talian yang tidak terkawal.
"Kementerian sedang menilai keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang dilihat kurang sesuai untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun," katanya.
Tambahnya lagi, langkah pelesenan ini bukan bertujuan menyekat akses, tetapi bagi memastikan syarikat penyedia platform mengambil tanggungjawab terhadap kandungan serta keselamatan pengguna di negara ini.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianPermainan bahaya kepada minda dan emosi kanak-kanak
Selain Roblox, beberapa permainan digital lain turut berada dalam radar pemantauan kerajaan, termasuk Grand Theft Auto (GTA), Call of Duty, PUBG, Free Fire, Fortnite, Dead by Daylight, Among Us, Horrorfield dan The Outlast Trials.
Menurut pihak berkuasa, beberapa judul ini mengandungi elemen ganas yang berpotensi memberi kesan kepada minda dan tingkah laku kanak-kanak jika tidak dipantau sewajarnya.
Kerajaan kini sedang meneliti kerangka peraturan paling sesuai dan berkesan bagi menangani isu keselamatan digital melibatkan kanak-kanak.
"Setakat ini, kerajaan belum buat keputusan rasmi mengenai perkara ini. Saya menyeru ibu bapa sentiasa pantau aktiviti dalam talian anak-anak dengan lebih dekat," katanya.
Beliau turut memohon sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan: kerajaan tidak boleh berdiam diri.

Perkembangan ini susulan kejadian tragis di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, Johor pada Isnin lalu, melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah selepas dikelar dan ditikam, dipercayai oleh abangnya berusia sembilan tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas berang permainan Roblox miliknya terganggu, menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul selepas telefon bimbitnya rosak.
Rentetan kejadian itu, kementerian berkaitan telah mengadakan pertemuan dengan wakil Roblox. Menteri berkenaan turut mendedahkan langkah peribadinya sebagai tindakan segera.
Beliau berkata, "Ada antara permainan mengandungi elemen membunuh, jenayah, perjudian, malah ada memberi ganjaran maya apabila melakukan kekerasan. Ini bahaya kepada minda dan emosi kanak-kanak."

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Image via BernamaBeliau turut menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dijangka berkuat kuasa awal tahun depan, yang antara lain akan mewajibkan penyedia platform memastikan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
Selain itu, kerajaan sedang menilai keperluan melesenkan aplikasi tertentu seperti Omi serta mengawal selia aktiviti influencer di media sosial. Menurutnya, kelemahan terbesar ketika ini adalah berkaitan sistem verifikasi pengguna.
"Kita juga sedang meneliti keperluan melesenkan aplikasi tertentu termasuk Omi, selain mengawal selia aktiviti influencer di media sosial. Masalah utama ialah proses verifikasi umur dan pengesahan identiti yang masih longgar," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MCMC akan ke Singapura minggu depan untuk berbincang dengan beberapa syarikat media sosial berhubung pelaksanaan eKYC (Electronic Know Your Customer) sebagai langkah memperkukuh keselamatan siber negara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 