Roblox Bakal Tingkat Kawalan Keselamatan, Janji Lindungi Pengguna Dengan Teknologi AI
Pihak Roblox turut memaklumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pihak Roblox turut memberikan komitmen untuk memperkukuh aspek keselamatan platform, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan serta pemantauan manusia bagi mengesan dan mencegah kandungan berbahaya
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, syarikat tersebut juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia, khususnya dalam aspek perkongsian data serta pematuhan terhadap garis panduan dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Hannah Yeoh menzahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan kanak-kanak di platform Roblox, satu aplikasi permainan dalam talian yang amat popular dalam kalangan generasi muda.
Beliau menekankan kepentingan membentuk ekosistem digital yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan positif golongan muda.
"Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Image via Sinar Harian
Permainan video Roblox.
Image via WiredBeri jaminan untuk mempertingkatkan keselamatan melalui penggunaan teknologi AI dan pemantauan manusia
Beliau menyatakan bahawa platform seperti Roblox kini mencatatkan lebih daripada 100 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk lebih sejuta di Malaysia.
Justeru, skala capaian sebesar itu turut membawa bersama amanah besar untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan pengguna muda tidak dipandang enteng.
"Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan.
"Sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak," katanya.

Insiden tragis yang berlaku baru-baru ini turut menggariskan urgensi isu tersebut. Pada Sabtu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah selepas dikelar oleh abangnya yang berumur sembilan tahun menggunakan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati tindakan agresif itu mungkin tercetus selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu, menyebabkan semua 'point' yang dikumpul suspek hilang.
Kejadian tersebut mencetuskan isyarat amaran jelas mengenai risiko emosi dan psikologi yang wujud dalam ekosistem permainan digital, sekali gus menuntut tindakan bersepadu bagi memperkukuh perlindungan terhadap pengguna kanak-kanak.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 