Ribut Tropika Senyar: Ini Saranan Keselamatan Untuk Anda Lakukan Sekarang!
Difahamkan, MetMalaysia mengesahkan Senyar sedang bergerak ke arah timur tenggara selepas memasuki Selat Melaka.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ribut Tropika Senyar kini menjadi tumpuan seluruh negara apabila ia membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora, dijangka berlarutan sehingga Sabtu ini

Menurut laporan Berita Harian, fenomena ini bukan sahaja jarang berlaku, malah disifatkan antara kejadian paling signifikan dalam sejarah meteorologi Malaysia.
Kini difahamkan, MetMalaysia mengesahkan Senyar sedang bergerak ke arah timur tenggara selepas memasuki Selat Melaka. Pada jam 11 pagi tadi, ia dikesan 57 kilometer dari barat daya Sabak Bernam, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 46 km/j.
Apa yang menjadikan Senyar begitu luar biasa ialah lokasinya. Kawasan berhampiran Khatulistiwa seperti Selat Melaka biasanya tidak mempunyai daya pusaran (Coriolis) yang mencukupi untuk membentuk ribut tropika.
Namun kali ini, ia berlaku dan kali terakhir direkodkan terjadi pada tahun 2001, ketika berlakunya Taufan Vamei. Fenomena Senyar mula berkembang sejak 21 November daripada sistem tekanan rendah yang berkumpul di Selat Melaka.
Kekuatan ribut bergantung kepada suhu permukaan laut. Lebih panas, lebih besar tenaga yang diserap, sekali gus meningkatkan intensiti ribut.
Amaran Jingga: Sembilan negeri & dua Wilayah Persekutuan berisiko tinggi
MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Buruk (Jingga) dan Amaran Angin Kencang serta Laut Bergelora dari 27 hingga 29 November ini.

Antara kawasan yang terlibat:
- Pulau Pinang
- Perak
- Selangor
- Kuala Lumpur & Putrajaya
- Kedah (Kulim, Bandar Baharu)
- Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong)
Dalam pada itu, negara jiran India turut mengambil langkah berjaga-jaga. Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran hujan lebat di Tamil Nadu sehingga menyebabkan beberapa sekolah ditutup.
Setakat ini, laporan serantau menunjukkan sekurang-kurangnya 107 kematian akibat kesan gabungan ribut dan hujan ekstrem di ASEAN. Kerugian pula dianggarkan melebihi AS$366 juta, menggambarkan betapa seriusnya impak sistem cuaca ini.
Saranan keselamatan: Ini yang perlu anda lakukan sekarang
Dengan pola pergerakan ribut yang boleh berubah secara mendadak, orang ramai digesa untuk memberi perhatian kepada perkembangan terkini dan mengambil langkah keselamatan berikut:
1. Aktiviti maritim dihentikan segera
Keadaan laut dijangka sangat berbahaya, terutama untuk kapal kecil dan aktiviti rekreasi pantai.
2. Bersedia menghadapi banjir
Penduduk kawasan rendah, tebing sungai dan lokasi berisiko diminta bersiap sedia untuk berpindah pada bila-bila masa.
3. Ikuti maklumat rasmi sahaja
Ikuti amaran dan nasihat terkini dari MetMalaysia melalui laman web, aplikasi myCuaca, atau hotline 1-300-22-1638 bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah tepat.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 