Riba Wanita Ketika Memandu, Tertuduh Dipenjara Setahun & Kekasih Enam Bulan
Difahamkan, ini adalah kesalahan pertama mereka dan sedar ia memberi impak kepada diri sendiri.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bekas pemandu bas ekspres dan kekasihnya kini telah dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini
Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dipenjara setahun manakala kekasihnya, Nur Adila Nahwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan dan kedua-duanya didenda RM5,000.
Menurut laporan di Harian Metro, kedua-dua mereka telah membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mahkamah arah penjara tambahan jika gagal bayar denda
Pihak mahkamah juga mengarahkan pasangan kekasih itu menjalani penjara tambahan selama dua bulan jika mereka gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka telah dituduh memandu bas dengan nombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.
Kesalahan itu dilakukan di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah pada jam 7:30, 12 April lalu.

Dalam kes yang sama, Nur Adila Najwa juga berdepan pertuduhan atas kata-kata kesat dan penghinaan terhadap seorang penumpang wanita berusia 44 tahun di dalam bas sehingga mengganggu ketenteraman mangsa pada jam 6 petang pada hari dan tempat yang sama.
Arif Fahmi telah membuat rayuan untuk meringankan hukumannya kerana dia telah hilang sumber pendapatan selepas video insiden itu tular.
Nur Adila pula merayu bahawa dia ingin melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan dan terpaksa berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mengumpul wang.
Kedua-dua tertuduh menyatakan ini adalah kesalahan pertama mereka dan sedar ia memberi impak yang merugikan diri mereka.
Kejadian mencetuskan kerisauan orang ramai terhadap pengangkutan awam
Kejadian ini juga telah mencetuskan kebimbangan orang awam mengenai keselamatan menggunakan pengangkutan awam seperti bas kerana boleh mengancam nyawa 27 penumpang.
Pendakwaan oleh peguam Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Syazwani Mohamad Yusri juga telah memohon hukuman berat diberikan iaitu penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 untuk mencerminkan keseriusan kes.
Setelah mendengar kedua-dua rayuan, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan denda RM5,000 kepada Arif dan penjara enam bulan termasuk denda RM5,000 kepada Nur Adila.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 