Resipi Susu Kurma Mudah Khas Untuk Sahur Atau Berbuka Ramadan Ini
Resipi mudah untuk dicuba bulan Ramadan ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kurma adalah antara makanan superfood yang dapat membekalkan tenaga seharian dan selalu dimakan oleh umat Islam terutamanya ketika Ramadan
Bulan puasa memerlukan tenaga yang cukup untuk seharian berpuasa, terutamanya ketika bekerja, dan ramai orang pada awal bulan puasa merasakan lemah dan lesu.

Susu kurma merupakan satu minuman mudah dengan hanya tiga bahan utama sahaja dapat memberikan kita tenaga yang banyak untuk rutin harian ketika berpuasa.
Bukan sahaja sedap, malah kaya dengan pelbagai manfaat, mudah untuk dibuat dan sangat sesuai untuk diminum ketika sahur.
Resepi Susu Kurma

Bahan-bahan:
- Kurma – 5 biji
- Air Panas/Masak – Setengah cawan
- Susu segar – 1 cawan
Bilangan kurma yang diperlukan boleh disesuaikan mengikut citarasa, kemanisan kurma, dan sebaik-baiknya menggunakan bilangan ganjil. Jenis kurma juga tidak perlu dikisahkan, hanya guna yang ada di rumah.
Cara-caranya:
1. Buang biji kurma dan carik-carikkan isinya untuk lebih mudah dikisar. Rendam kurma dalam setengah cawan air masak sehingga kembang. Lebih lama direndam, lebih kuat dan pekat rasanya.
2. Rendam sebelum tidur atau beberapa jam sebelum berbuka. Jangan lupa tutup cawan yang digunakan atau disimpan ke dalam peti sejuk (Jika mahu yang sejuk). Atau dibiarkan sahaja di suhu bilik.
3. Setelah kurma kembang, kisar bersama-sama satu cawan susu segar menggunakan pengisar. Minum sebagai penutup sahur atau berbuka.
4. Jika mahukan versi panas, selepas dikisar, panaskan selama 3-5 minit.
5. Susu kurma yang telah siap juga boleh ditapis untuk menjadikan teksturnya lebih halus tanpa gumpalan.
6. Variasi lain seperti menambah pisang, buah naga, badam, oat dan sebagainya juga boleh ditambah mengikut citarasa.

Kurma terkenal dengan khasiatnya untuk memberikan tenaga dan susu segar pula membantu memberikan kalsium dan tenaga tambahan.
Hasil gabungan kedua-dua bahan ini sesuai diminum ketika sahur mahupun berbuka puasa.
Jangan lupa untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan mohon Allah SWT memudahkan puasa kita untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 