Rakyat Selangor Dijemput Raikan Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Di Shah Alam Jumaat Ini
Pelbagai acara menarik disediakan, termasuk tayangan video pernikahan Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato' Abdul Aziz pada 2 Oktober lalu.
Cover image via Selangor Royal Office (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rakyat Selangor dipelawa hadir memeriahkan Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja bersempena perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor yang akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Jumaat ini
Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pelbagai pengisian menarik bakal dianjurkan bagi meraikan hari penuh bermakna tersebut, termasuk tayangan video pernikahan Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato' Abdul Aziz yang berlangsung pada 2 Oktober lalu.
"Semua dijemput datang bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana penuh santai dan ria meraikan pasangan pengantin Diraja," menurut kenyataan di Facebook.

Bakal dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, jamuan makan serta persembahan hiburan
Majlis yang dijadual berlangsung dari jam 8 malam hingga 11 malam itu bakal dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, jamuan makan serta persembahan hiburan daripada artis terkenal termasuk Faizal Tahir, Masdo dan Teman Lelaki.
Untuk rekod, pasangan diraja dinikahkan oleh Mufti Selangor, Dato' Dr Anhar Opir, dengan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj bertindak sebagai saksi.
Istiadat pernikahan yang berlangsung penuh tertib di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang turut disaksikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Sementara itu, majlis persandingan diraja telah diadakan dengan penuh adat kebesaran di Istana Alam Shah pada 22 Oktober lalu, melengkapkan rangkaian istiadat perkahwinan penuh bersejarah baginda berdua.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



