Rakyat Malaysia Kini Perlu Dapat Kebenaran Awal Sebelum Masuk UK Bermula Februari 2026
UK bakal beralih kepada sistem ketat "No Permission, No Travel" untuk semua negara tiada visa.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rakyat Malaysia bersama pengunjung dari 84 negara lain yang tidak memerlukan visa, tidak akan dibenarkan melancong ke United Kingdom (UK) tanpa Electronic Travel Authorisation (ETA) bermula 25 Februari 2026
Menurut sumber, semua pelawat bebas visa tanpa ETA atau eVisa akan diarah tidak menaiki pesawat atau memasuki negara tersebut, menurut kenyataan kerajaan UK awal minggu ini.
ETA ialah permit digital untuk penginapan jangka pendek di UK. Ia bukan visa dan bukan cukai perjalanan udara, seperti yang dikenakan di beberapa negara lain. ETA membolehkan pelawat tinggal sehingga enam bulan, sama ada untuk melancong atau melawat keluarga.
ETA merupakan sebahagian daripada sistem "No Permission, No Travel" yang kini turut merangkumi pelawat transit yang melalui pemeriksaan pasport UK.
Warganegara British dan Ireland, termasuk yang memiliki dua kerakyatan, adalah terkecuali. Namun, pemegang dua kerakyatan disarankan membawa pasport British yang sah atau certificate of entitlement bagi mengelakkan masalah ketika menaiki pesawat.

Dilancarkan pada Oktober 2023, ETA tidak dikuat kuasa secara ketat pada awalnya bagi memberi masa kepada pengembara menyesuaikan diri
Menteri Migrasi dan Kewarganegaraan UK, Mike Tapp berkata langkah ini sebahagian daripada usaha pendigitalan sistem sempadan negara.
"ETA memberi kami kuasa lebih besar untuk menghalang individu yang berpotensi membawa ancaman daripada memasuki negara ini, dan ia memberikan gambaran lebih jelas tentang imigresen. ETA juga memudahkan perjalanan. Pendigitalan sistem imigresen memastikan jutaan pelawat setiap tahun menikmati pengalaman lebih lancar," katanya.
Sejak pelancarannya, lebih 13.3 juta ETA telah dikeluarkan.
Siapa yang perlu ETA atau eVisa?

Pelawat dari 85 negara yang kini tidak memerlukan visa akan memerlukan ETA termasuk Malaysia, AS, Kanada, Australia, Jepun, Korea Selatan, Brazil dan kebanyakan negara European Union (EU).
Pelawat transit di Heathrow atau Manchester yang tidak melalui passport control UK tidak perlu ETA. Namun, mereka yang masuk semula ke UK walaupun hanya untuk transit wajib mempunyai ETA.
Cara mohon ETA:
Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi UK ETA (iOS & Android) atau laman web rasmi kerajaan UK.
Pemohon perlu memberikan:
- maklumat perhubungan
- butiran pasport
- gambar foto yang sah
Yuran permohonan: £16 (±RM88). Kebanyakan permohonan diproses secara automatik dalam beberapa minit, tetapi kerajaan menasihati agar memperuntukkan sehingga tiga hari bekerja jika semakan tambahan diperlukan.
ETA yang diluluskan sah selama dua tahun atau sehingga pasport tamat tempoh bagi yang mana lebih awal.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 