Rakyat Malaysia ‘Bersatu’ Bantu Nenek 90 Tahun Yang Didenda Jual Sayur Tanpa Lesen
Difahamkan, perkongsian berkenaan telah meraih lebih 1,600 tanda suka di media sosial.
Cover image via FacebookFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rakyat Malaysia tampil bersatu hati menghulurkan bantuan kepada seorang nenek berusia 90 tahun selepas dia dikenakan denda kerana menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran hasil tanaman sendiri tanpa lesen
Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang individu berkongsi kisah tersebut di Facebook, mendakwa dia bertemu warga emas itu di Kampung Abdullah Segamat, Johor pada 23 Januari lalu.
Menurutnya, dia menyaksikan sendiri nenek berkenaan dikenakan saman oleh pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS).
Individu itu turut memaklumkan bahawa dia cuba campur tangan dengan merayu agar tindakan tersebut diringankan, namun pegawai terbabit dikatakan tetap bertegas untuk menguatkuasakan undang-undang.
"Selepas membayar denda, dia juga dimaklumkan bahawa perlu memohon lesen menjual sayur-sayuran.
"Yuran lesen tersebut berjumlah beberapa ratus ringgit. Bagi seorang wanita warga emas seusianya yang hanya menjual beberapa jenis sayur dalam kuantiti kecil, jumlah itu tidak realistik dan tidak mampu ditanggung.
"Keadaan ini bermakna dia mungkin terpaksa berhenti menjual sayur sepenuhnya dan kehilangan satu-satunya sumber pendapatan," katanya.
Dia mengakhiri perkongsian itu dengan meluahkan rasa simpati terhadap nenek berkenaan, selain merayu kepada orang ramai agar tampil memberikan panduan serta sokongan bagi memastikan sumber pendapatannya terus terpelihara.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah meraih lebih 1,600 tanda suka di media sosial
Ketua Pemuda MCA Segamat, Tay Kok Wea berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau mengarahkan seorang rakannya ke lokasi untuk menjelaskan denda RM50 yang dikenakan ke atas warga emas berkenaan.
"Ini bukan untuk publisiti. Saya tidak sanggup melihat seorang wanita warga emas yang mencari rezeki dengan kudrat sendiri tertekan hanya kerana dikenakan denda kecil," katanya dalam satu kenyataan pada 25 Januari.


Beliau turut memaklumkan telah menghubungi unit penguat kuasa majlis perbandaran dan mengesahkan bahawa tiada lagi denda akan dikenakan terhadap nenek tersebut.
"Dia boleh terus menjual sayur-sayuran dengan tenang.
"Berhubung isu lesen pula, wanita itu hanya menjual sayur kira-kira empat kali sebulan dan bayaran lesen sedia ada sememangnya terlalu membebankan.
"Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat untuk mencadangkan bayaran lesen bersifat simbolik. Jika cadangan itu diluluskan, saya akan menanggung semua kos berkaitan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



