Rafizi Umum Bakal Buka Kedai Makan ‘Value Meal’ RM5 & Kedai Serbaneka
Fleximart merupakan sebuah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada makanan siap bawah RM5.
Cover image via Rafizi Ramli (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bakal melancarkan dua kedai berkonsepkan perusahaan sosial iaitu Fleximart dan Kesum, yang menawarkan makanan serta barangan keperluan harian pada harga mampu milik bawah RM5
Menurut Rafizi, kedua-dua inisiatif utama di bawah program Ayuh Malaysia itu akan mula beroperasi tidak lama lagi.
Fleximart dijadual dibuka pada 1 November, manakala Kesum pada 8 November, sebagai sebahagian daripada usaha menangani kos sara hidup rakyat melalui pendekatan inovatif dan berdaya mampan.
"Kesum ialah kedai makan 'value meal' berkonsepkan 'asal kenyang, sedap dan murah' bersempena daun kesum serta singkatan kepada kenyang, sedap dan murah.
"Kesum akan menjual makanan sarapan, tengah hari dan malam pada harga bawah RM5," katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Image via Sinar HarianUntung akan dikongsi bersama antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai
Rafizi menjelaskan, kedua-dua kedai berkenaan dibangunkan berasaskan konsep perusahaan sosial, yang menekankan perkongsian keuntungan antara penyumbang modal, pekerja dan masyarakat.
"Keuntungan akan dikongsi bersama antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai. Lebih banyak keuntungan, lebih tinggi gaji pekerja dan sebahagian keuntungan itu akan disumbangkan kembali supaya harga dapat dikekalkan rendah," katanya.
Menurut beliau, model yang diperkenalkan ini merupakan eksperimen sosial pertama seumpamanya di Malaysia, dengan matlamat membuka peluang pekerjaan kepada anak muda serta membantu rakyat menikmati makanan dan barangan keperluan pada harga rendah.
"Saya tidak tahu sama ada model yang julung kali dibuat untuk kedai-kedai ini akan berjaya. Niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan serta barangan pada harga lebih murah.
"Sekiranya dua eksperimen sosial tersebut berjaya, kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan," katanya.

Tambah Rafizi, kejayaan projek ini akan memberi kesan berganda, bukan sahaja dalam bentuk tawaran harga rendah, tetapi juga latihan keusahawanan kepada anak muda untuk mengurus dan memiliki perniagaan sendiri.
"Saya jemput orang ramai hadir ke pembukaan Fleximart pada hari Sabtu, 1 November 2025 jam 10 pagi di alamat No. 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam (sederet dengan Speedmart).
"Kesum akan dibuka pada 8 November 2025 jam 9 pagi di alamat No. 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah (sederet dengan KM Bistro).
"Insya-ALLAH, saya akan buat kopi, sediakan makanan dan menjadi sebahagian daripada krew Fleximart dan Kesum pada hari itu," katanya.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



