Radius Pencarian Budak 10 Tahun Hilang Kini Diperluas 5KM, Operasi SAR Masih Diteruskan
Pihak berkuasa menyeru orang awam agar tidak menghampiri kawasan operasi bagi melancarkan pencarian.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Lorong Cakera Purnama, Kuala Selangor diteruskan hari ini dengan perluasan radius pencarian sehingga lima kilometer
Menurut laporan Kosmo!, mangsa, Khairil Izani Khaizalulinurdin, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika kejadian hujan lebat petang semalam.
Difahamkan, usaha pencarian kini memasuki hari kedua dengan fokus diperluas meliputi laluan aliran air sehingga ke kawasan Taman Industri Alam Jaya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Azreel Izaidi Ahamad memaklumkan, pihaknya turut meneliti beberapa kemungkinan termasuk kewujudan pecahan aliran di beberapa lokasi sekitar kawasan pencarian, termasuk bahagian belakang kawasan terbabit.

Menurut beliau, operasi semalam dihentikan pada jam 4.30 pagi sebelum disambung semula pada jam 8 pagi tadi dengan penglibatan 19 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PDA), Unit Anjing Pengesan (K9) serta pihak polis
"Fokus utama pencarian masih di lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh, namun perluasan radius dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan operasi," katanya.
Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.47 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian sejurus laporan diterima.
Operasi SAR masih diteruskan sehingga mangsa ditemui, manakala pihak berkuasa menyeru orang awam agar tidak menghampiri kawasan operasi bagi melancarkan pencarian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 