Pulau Pinang Bakal Hadap Kesibukan Jalan Raya Lebih Teruk Mulai Januari Depan
Satu laluan tiga lorong di pulau itu akan dikurangkan kepada dua lorong bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan bertingkat untuk projek LRT.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pulau Pinang bakal berdepan kesesakan trafik lebih teruk bermula pertengahan Januari apabila laluan utama di pulau itu akan dikurangkan lorong bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Light Rail Transit (LRT), lapor Free Malaysia Today
Menurut kontraktor SRS LRT Sdn Bhd, kira-kira 2 kilometer di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah, berhampiran Bayan Baru dan Zon Perindustrian Bebas (FIZ) laluan penting yang menghubungkan lapangan terbang dan kawasan perindustrian akan menyaksikan pengurangan daripada tiga lorong kepada hanya dua.
Pengarah projek, Adil Putra Ahmad, berkata pengurangan itu melibatkan laluan dari persimpangan Jalan Kampung Jawa–Jalan Mahsuri hingga ke persimpangan Jalan Mayang Pasir.
Beliau berkata, penutupan satu lorong dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan jejambat LRT yang dijangka mengambil masa 38 bulan untuk disiapkan.
Projek jejambat itu yang terletak di bahagian selatan pulau merupakan sebahagian daripada jajaran LRT sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen, yang telah dimulakan pada Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2031.

Gambar sekadar hiasan.
Image via NSTPKesesakan trafik sukar dielakkan kerana pembinaan dilakukan di kawasan yang sudah mempunyai struktur sedia ada
Aidil berkata, pihaknya akan berusaha mengurangkan kesesakan dengan menutup beberapa lampu isyarat bagi membolehkan aliran trafik bergerak lebih lancar, selain menambah laluan pusingan U.
"Bagi projek sebesar ini, perancangan pengurusan trafik sementara perlu dibuat dengan amat teliti, berasaskan kajian yang dijalankan.
"Kesan terhadap trafik selalunya sangat besar sekiranya tidak dirancang dengan betul," katanya.

FIZ menempatkan kilang multinasional utama dari seluruh dunia dan menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 350,000 orang pekerja, menurut Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Loo Lee Lian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari yang turut hadir, berkata kesesakan trafik sukar dielakkan kerana pembinaan dilakukan di kawasan yang sudah mempunyai struktur sedia ada.
"Kesannya memang trafik akan sesak sepanjang tempoh pembinaan, sama seperti di Kuala Lumpur. Kita tidak dapat lari daripada itu.
"Tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah memberi lebih banyak maklumat supaya orang ramai boleh merancang. Kerajaan negeri juga akan bersikap telus dan sentiasa mengemas kini pengguna jalan raya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 