Produk ‘Vape’ Bernilai Lebih RM3.04 Juta Dirampas Di Kelantan, Terengganu & Pahang
Seramai 18 lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut oleh KKM, PBT dan LHDN.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membanteras kegiatan penjualan rokok elektronik atau vape bernilai lebih RM3.04 juta
Menurut laporan dari Bernama, Operasi Bersepadu E-Cigarette Mega ini beroperasi secara serentak di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi ini bermula dari 2 hingga 6 petang yang melibatkan 18 siri serbuan ke premis yang menjual rokok elektonik.

Dalam 18 siri serbuan tersebut, tujuh di Kota Bharu dan Bachok, Kelantan; tiga di Terengganu (Kuala Terengganu dan Jerteh) dan lapan di Kuantan Pahang.
Lebih 10,000 unit peranti vape dirampas
Sebanyak 193.53 liter cecair pelbagai perisa, 10,745 unit peranti vape dan 1,287 unit aksesori dirampas selain 18 lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut oleh Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Pihak KKM dan PBT telah mengeluarkan denda dan kompaun berjumlah RM145,250 di tiga negeri tersebut," kata Ahmad Radzi Hussain Komander Briged Tenggara PGA SAC.
Denda termasuk kompaun di Pahang berjumlah RM117,250, Terengganu (RM22,000) dan Kelantan (RM6,000).

Menurut Ahmad Radzi operasi ini telah melibatkan 157 pegawai dan anggota PGA, 100 pegawai KKM, dan 59 petugas PBT dan 25 pegawai LHDN.
Semua tindakan penguatkuasaan ini dibuat mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred dan Perindustrian 2019.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 