Prasarana Perkenal Mesin Kitar Semula Berteknologi AI Di Stesen LRT Untuk Orang Awam
RVM yang diperkenalkan turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan penggunaan mesin kitar semula atau Reverse Vending Machine (RVM) di beberapa stesen LRT sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan kelestarian dalam sistem pengangkutan awam

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen syarikat menyokong kehidupan dan pembangunan bandar lestari serta mampan.
"Penyediaan mesin kitar semula selaras dengan komitmen Prasarana terhadap agenda kelestarian dan pembangunan bandar mampan. Inisiatif ini menyokong sasaran jangka panjang syarikat untuk meningkatkan kadar kitar semula dalam persekitaran pengangkutan awam.
"Selain menyediakan kemudahan fizikal, RVM turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem ganjaran digital bertujuan memberi insentif kepada pengguna," katanya.
Menurutnya, selain menyediakan kemudahan fizikal, RVM yang diperkenalkan turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem ganjaran digital bagi menggalakkan penyertaan pengguna
Setakat ini, lima mesin RVM dipasang di Stesen LRT Masjid Jamek, manakala masing-masing dua mesin ditempatkan di Stesen KLCC dan Menara Prasarana.
Selain itu, sebanyak 68 mesin ATLAS ECOPOD telah ditempatkan di pelbagai stesen, dengan 10 daripadanya dilengkapi fungsi kitar semula.
Pemilihan stesen tumpuan seperti Masjid Jamek dan KLCC dibuat berdasarkan aliran penumpang yang tinggi serta kedudukan strategik untuk mempamerkan usaha kelestarian kepada warga kota dan pelancong.
"Pemasangan RVM di stesen rel tumpuan ini dapat memberikan kemudahan kitar semula lebih mudah, berteknologi serta berinsentif kepada penumpang. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan proses kitar semula, malah menggalakkan perubahan tingkah laku positif melalui penggunaan teknologi pintar dan sistem ganjaran," katanya lagi.

Idzqandar (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Syed Redza Algadrie (kanan) dan Dr Nor Halizam (dua dari kanan) melihat lukisan mural yang dihasilkan sepanjang laluan bawah tanah di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
Image via Berita HarianAntara mesin diperkenalkan ialah KLEAN, sebuah RVM berasaskan AI yang menerima botol plastik dan tin
Pengguna boleh mengumpul mata ganjaran melalui aplikasi mudah alih untuk ditebus kepada baucar rakan niaga terpilih seperti Zus Coffee, Grab dan Jaya Grocer.
Turut diperkenalkan ialah mesin ATLAS ECOPOD yang menerima pengiktirafan Guinness World of Record sebagai mesin kitar semula ternipis di dunia, serta dipadankan dengan mesin layan diri ATLAS Vending bagi membolehkan ganjaran ditebus secara terus.
Semua mesin dilengkapi sistem penjejakan data bagi memantau tahap pembabitan pengguna dan jumlah bahan kitar semula yang dikumpulkan, sekali gus menyokong pelaksanaan inisiatif kelestarian berasaskan data.
Idzqandar turut memaklumkan bahawa Prasarana mengalu-alukan kerjasama strategik dan penajaan sektor swasta untuk memperluaskan pemasangan RVM di lebih banyak stesen rel.
"Setakat ini sebanyak 16 unit RVM dipasang di fasiliti kendalian syarikat termasuk di Menara Prasarana dan ibu pejabat Rapid Bus Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan akses kemudahan kitar semula kepada orang ramai.
"Inisiatif berkenaan bukan sahaja menyokong komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), malah memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran serta pembangunan infrastruktur kitar semula awam di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Nor Halizam Ismail menyatakan sokongan terhadap usaha Prasarana memperkenalkan teknologi tersebut
"Pendekatan ini satu inovasi sangat baik. Jjika sebelum ini kitar semula dilakukan secara manual dan memerlukan tenaga kerja tambahan, penggunaan teknologi seperti RVM menjadikan proses lebih kemas dan bersih.
"Penggunaan mesin kitar semula membantu mengurangkan jumlah sisa yang dibuang ke tapak pelupusan, dan membolehkan sisa domestik diasingkan dengan lebih berkesan," ujarnya.
DBKL turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pihak termasuk NGO dan syarikat swasta bagi menyokong inisiatif kelestarian ini, selari dengan usaha memastikan Kuala Lumpur kekal bersih dan lestari menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 