Polis Maut Dirempuh Kenderaan Curi, 4 Suspek Sindiket Pecah Rumah Kini Ditahan
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang anggota polis maut ketika bertugas selepas dirempuh kenderaan yang dipandu suspek pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar, pada Khamis, 7 Ogos
Menurut laporan New Straits Times, mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kereta mewah Lexus yang dilaporkan dicuri oleh suspek.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang apabila polis menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di sebuah rumah.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah berkata, lima anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dihantar ke lokasi menggunakan dua kenderaan
"Sebaik tiba, anggota kami ternampak suspek sedang cuba mencuri peti besi. Salah seorang suspek yang memandu Lexus memecut dan merempuh anggota kami sebaik beliau keluar dari kenderaan. Mangsa dirempuh dan maut di tempat kejadian.
"Ini satu kehilangan besar buat pasukan PDRM, terutamanya di Kedah," katanya.

Seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, manakala tiga lagi melarikan diri dengan Lexus tersebut sebelum merampas sebuah lagi kereta untuk meloloskan diri
Namun, kesemua mereka berjaya diberkas di Kepala Batas, Jitra, kurang sejam selepas kejadian.
Siasatan awal mendapati suspek pertama mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya kes pecah rumah & curi kereta. Suspek kedua pula mempunyai 30 rekod. Suspek ketiga dan keempat pula masing-masing mempunyai 6 dan 2 rekod.
Pihak polis percaya mereka merupakan ahli sindiket pecah rumah bergerak merentas negeri dan kini bekerjasama dengan kontinjen lain termasuk Johor untuk menyiasat sama ada ia serangan rambang atau berpunca daripada maklumat dalaman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) dan Seksyen 457 (pecah rumah).
Allahyarham Mohd Hafizul meninggalkan isteri, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, serta tiga anak yang berusia 4, 9 dan 11 tahun
Menurut laporan Harian Metro, Mohd Hafizul telah berkhidmat dengan PDRM Kedah selama 15 tahun. Jenazahnya akan dikebumikan di kampung halamannya di Setiu, Terengganu, pada Jumaat, 8 Ogos.
"Suami saya jenis yang suka tolong keluarga, ipar-duai, semua orang. Dia lelaki yang baik. Semalam pun dia masih sempat ambil anak-anak balik sekolah.
"Itu rutin hariannya walaupun sibuk bekerja. Anak-anak sayangkan dia… mereka masih tak faham apa yang berlaku," kata isterinya sebak.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 