PMX Umum Dana Tambahan RM100 Juta Untuk Bantu Rakyat Palestin Di Gaza
"Jangan lelah atau putus asa desak Israel hentikan kekejaman terhadap Palestin" – Anwar Ibrahim.
Cover image via Anwar Ibrahim (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis
Menurut beliau, dana itu tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan Kerajaan MADANI dua tahun lalu, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.
Anwar menegaskan, bantuan tambahan itu amat diperlukan rakyat Palestin berikutan bekalan makanan dan perubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka, akibat sekatan dan kekejaman Israel.
"Mereka (syarikat dan rakyat) sudah membantu sebelum ini dengan pelbagai bantuan tapi dengan (sekatan) zionis Israel, sampai busuk dan rosak barang," katanya ketika menyampaikan syarahan umum pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Anwar menyelar sikap Israel yang terus-menerus menyekat bekalan makanan dan perubatan yang amat diperlukan rakyat Palestin.
"Apa jenis manusia ini… ini bukan manusia, ini haiwan. Orang lapar, mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tidak boleh masuk. Orang sakit perlu ubat, ubatnya dipagar. Manusia paling teruk pun tidak seperti ini.
"Ini (Perdana Menteri Israel, Benjamin) Netanyahu dan kelompoknya, memang kurang siuman, zalim. Anak kecil, dua tahun berlari (didakwa) ini Hamas. Ini penyakit apa?" ujarnya.
Gesa lebih banyak syarikat besar dan korporat menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin
Tambah Anwar, kita dapat belajar daripada nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
"Saya akan minta rakan-rakan untuk terus prihatin kepada rakyat Palestin, mereka sebelum ini telah membantu dengan beri pelbagai bantuan namun Zionis telah hancurkan segalanya (bantuan sebelum ini).
"Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadangkala terasa buntu dan tanpa harapan. Tetapi janji Allah jelas. Pertolongan-Nya itu dekat. Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang," katanya.

"Bulan ini bulan kemerdekaan kita. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu kini kita teruskan bersama Palestin. Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini.
"Ingatlah, suara yang bergema malam ini bukan suara parti, bukan suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.
Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian. Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya. Free Palestine!," katanya menerusi posting yang dimuat naik di Facebook.

Sebagai rekod, acara semalam menandakan kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung sejak Jumaat lalu anjuran bersama MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia dengan dinaungi Perdana Menteri selaku Penaung Sumud Nusantara.
Majlis pada malam itu turut diisi dengan solat hajat untuk pembebasan Gaza, tausiah peduli ummah oleh tokoh pendakwah ternama, bacaan Qunut Nazilah serta persembahan selawat oleh kumpulan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.
Terdahulu, pengisytiharan Deklarasi Sumud Nusantara dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery yang menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.
Pada majlis itu, Anwar turut melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 untuk Flotilla Gaza yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



