Peserta RXZ Members 7.0 Terkejut Menang Alphard, Syukur Sering Amal Solat Tahajud
Himpunan RXZ Members 7.0 merekodkan penyertaan kira-kira 150,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Cover image via @irfaninara369 (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Berkat istiqamah mengamalkan solat tahajud dan sentiasa berbuat baik kepada keluarga, seorang pemandu lori tidak menyangka pulang dengan rezeki luar biasa
Dia telah memenangi sebuah Toyota Alphard sebagai hadiah utama cabutan bertuah dalam program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Sabtu lalu.
Menerusi laporan Sinar Harian, Zulhapis Seman, 36, dari Felda Lepar Hilir 2, Gambang, Pahang, berkata dia langsung tidak menjangka penyertaannya pada program kali ini membuka pintu rezeki yang begitu besar.
Katanya, sekadar hadir untuk memeriahkan suasana, siapa sangka pulang dengan hadiah mewah yang memang tidak pernah terlintas di fikiran.
Tambahnya, dia tidak pernah terlintas untuk memiliki kenderaan mewah seperti itu kerana kemampuan kewangannya terbatas, selain merasakan ia bukanlah satu keperluan utama dalam hidupnya.
"Semua orang mengimpikan kenderaan mewah, tetapi bukan semua mampu memilikinya. Jadi apabila sudah menang, saya akan guna seketika untuk keluarga.
"Bagi saya, ini adalah rezeki anak saya kerana mungkin juga saya akan menjual semula kenderaan ini dan duit hasil jualan itu boleh saya gunakan untuk keperluan keluarga yang lebih penting dan untuk keperluan masa depan anak-anak saya," katanya.

Pertama kali menang cabutan bertuah walaupun sudah lama join RXZ Members
Menurut Zulhapis, inilah kali pertama dia benar-benar merasai tuah apabila berjaya membawa pulang hadiah utama, meskipun sudah beberapa kali menyertai program RXZ Members sejak edisi 5.0 lagi.
"Untuk menang cabutan bertuah ni saya ikut syarat penyertaan dengan membeli barangan promosi berupa kemeja T penganjur berharga RM189 pada saat akhir dan nombor saya sekali sahaja dipanggil, terus saya naik pentas.
"Perasaan saya bercampur baur. Rasa terlalu gembira, sebak pun ada kerana sebenarnya sebelum ini, saya tak pernah berpeluang menang sebarang cabutan bertuah, walaupun hadiah kecil," katanya yang hadir ke program itu dengan motosikal RXZ dibeli bersama rakan pada harga RM1,700.
Himpunan RXZ Members 7.0 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menarik kehadiran hampir 150,000 peserta, bukan sahaja dari seluruh negara malah turut disertai peminat dari luar negara.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



