Pesawat Boeing Lebih 10 Tahun ‘Hilang’, Kini Ditemui Terbiar Di Sebuah Lapangan Terbang
Macam mana boleh jadi macam tu?
Cover image via aviation2z.comFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah pesawat Boeing 737 milik Air India yang hilang daripada rekod rasmi lebih satu dekad akhirnya ditemui dalam keadaan terbiar di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhas Chandra Bose, Kolkata
Penemuan mengejutkan itu mendedahkan betapa seriusnya kelemahan sistem pentadbiran syarikat penerbangan tersebut ketika ia masih berada di bawah milikan kerajaan.
Menurut laporan Berita Harian, pesawat berdaftar VT-EHH model Boeing 737-2A8F sebenarnya telah ditinggalkan sejak ia dihentikan operasi pada 2012.
Ia hanya disedari semula apabila pihak berkuasa lapangan terbang meminta Air India mengalihkan pesawat yang sudah lama tidak digunakan itu.

Dari pesawat penumpang ditukar menjadi kargo, kemudian lenyap dari sistem
- VT-EHH mula beroperasi pada 1982 bersama Indian Airlines.
- Kemudian diserahkan kepada Alliance Air.
- Diubah suai menjadi pesawat kargo pada 2007 untuk India Post.
- Dihentikan perkhidmatan pada 2012 dan diletakkan di lapangan terbang Kolkata.
Selepas itu, pesawat terbabit sepatutnya melalui proses standard seperti dilupuskan, dijual atau diambil komponen. Namun sebaliknya, ia kekal terbiar dan secara beransur-ansur hilang daripada rekod pentadbiran.
Tidak disenaraikan dalam insurans, susut nilai atau mana-mana rekod kewangan
Lebih mengejutkan, kecuaian ini bukan hanya sekadar 'terlupa'.
Menurut siasatan dalaman Air India, pesawat itu:
- tidak muncul dalam pengiraan susut nilai
- tidak wujud dalam polisi insurans
- tiada dalam jadual penyelenggaraan
- tidak termasuk dalam daftar aset atau rekod kewangan syarikat
CEO Air India, Campbell Wilson, turut memaklumkan pekerja bahawa pesawat tersebut tidak pernah muncul dalam sistem penjejakan aset dalaman selama bertahun-tahun dan menyebabkan ia juga tidak dimasukkan dalam penilaian semasa proses penswastaan kepada Tata Group pada 2022.
Selepas penemuan semula itu, Air India akhirnya menyelesaikan penjualan dan pemindahan VT-EHH pada November 2024.
Namun, syarikat tidak mendedahkan apakah perancangan untuk pesawat tersebut, siapa pembelinya dan berapa nilai transaksi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



