Pesakit Mental Di Pahang Meningkat, Tekanan Hidup & Kos Sara Hidup Antara Punca Utama
Faktor persekitaran dan sosial juga menyumbang kepada masalah tersebut.
Cover image via Prudential BSN TakafulFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pahang mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pesakit mental dengan 43,972 kes direkodkan antara tahun 2020 hingga 2024, menurut laporan yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang
Menurut laporan Sinar Harian, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata angka itu merangkumi 3,076 kes baharu dan 40,896 kes ulangan, menunjukkan peningkatan keperluan terhadap akses rawatan serta sokongan kesihatan mental di seluruh negeri.
Kuantan pula muncul sebagai daerah dengan rekod pesakit mental tertinggi, iaitu 20,138 kes melibatkan 1,214 kes baharu.

Daerah lain yang turut menunjukkan angka signifikan termasuk:
- Temerloh – 8,376 kes
- Bentong – 5,488 kes
- Lipis – 3,063 kes
- Pekan – 2,263 kes
- Jerantut – 804 kes
- Bera – 644 kes
- Muadzam Shah – 603 kes
- Raub – 579 kes
- Jengka & Maran – 684 kes
- Cameron Highlands – 403 kes
Jumlah ini, menurut Razali, menggambarkan cabaran besar dalam menangani isu kesihatan mental yang semakin kompleks di peringkat komuniti.
Kos sara hidup dan masalah keluarga antara punca paling ketara
Daripada 34,727 individu yang telah disaring setakat Mei 2024, 541 dirujuk untuk intervensi lanjut manakala 70 disahkan mempunyai penyakit mental.
"Masalah keluarga dan hubungan sosial seperti konflik rumah tangga, penceraian, kekurangan sokongan emosi turut menyumbang kepada isu ini.
"Pada masa sama, penyakit mental turut disumbang masalah kesihatan kronik dan bencana, beban penyakit tidak berjangkit (NCD), kesan pasca Covid-19, banjir dan kehilangan harta benda," katanya.
Selain itu, faktor persekitaran dan sosial seperti stigma masyarakat dan keterasingan sosial juga menyumbang kepada masalah tersebut.

Gambar sekadar hiasan.
Image via FMT"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melaksanakan pelbagai inisiatif komprehensif bagi memperkukuh kesihatan mental rakyat, termasuk pengukuhan saringan dan promosi kesihatan mental.
"Pelaksanaan saringan awal melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan MyMinda di fasiliti kesihatan primer turut dijalankan di samping program outreach ke sekolah, tempat kerja dan komuniti.
"Langkah itu disokong kempen seperti Let's Talk Minda Sihat dan World Mental Health Day bagi mengesan risiko tekanan, keresahan dan kemurungan secara awal.
"Selain itu, Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (HEAL) 15555 selama 24 jam disediakan sebagai talian sokongan krisis yang memberi khidmat nasihat, intervensi awal dan rujukan profesional kepada individu yang memerlukan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



