Pertama Dalam Sejarah Diraja Pahang, Tengku Hassanal Dilantik Anggota Elit PASKAU, Pangkat Mejar

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anakanda baginda.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sejarah baharu tercipta buat kerabat Diraja Pahang apabila Kebawah Duli Paduka Mulia (KDPM) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Khas Udara (PASKAU) Siri 32/25, sekali gus menjadi kerabat pertama Pahang yang menamatkan latihan elit itu

Majlis penutup kursus berprestij itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, di Pantai Hiburan, Rompin.

Dalam majlis penuh istiadat ketenteraan itu, KDPB Sultan Pahang, selaku Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Mejar TUDM kepada KDPM Tengku Mahkota Pahang atas kejayaan baginda menamatkan latihan berkenaan.

SAYS.com
Image via Kesultanan Pahang (Facebook)

Al-Sultan Abdullah zahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anakanda baginda

Baginda turut mengurniakan Beret Biru PASKAU, Lanyard Biru dan Dagger PASKAU kepada KDPM Tengku Mahkota Pahang serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato' Sri Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM, yang turut menamatkan kursus sama.

Turut mengiringi keberangkatan Baginda berdua ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah dan isteri, YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.

Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anakanda baginda.

"Saya anggap hari ini satu hari yang cukup istimewa bagi saya dan keluarga saya kerana dapat melihat dengan bangga lahirnya seorang PASKAU daripada kalangan keluarga saya.

"Mudah-mudahan ramai lagi PASKAU akan dilahirkan daripada keluarga saya. Tahniah juga kepada Panglima Tentera Udara serta pegawai dan anggota PASKAU yang berjaya menamatkan latihan ini," titah baginda.

"Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua ahli keluarga yang hadir menyaksikan kejayaan pegawai dan anggota PASKAU yang menamatkan latihan.

"Kita harus rasa bersyukur dan mudah-mudahan anak-anak ini (anggota PASKAU) akan terus cekal berkhidmat untuk negara,"
titah Baginda.

SAYS.com
Image via Kesultanan Pahang (Facebook)

Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 dikendalikan oleh Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) di TUDM Bukit Ibam, bermula 28 Julai hingga 26 September 2025, di bawah pimpinan Pegawai Memerintah SLTT, Lt Kol Raymond bin Radsung TUDM.

Kursus selama 12 minggu itu melibatkan dua fasa utama iaitu empat minggu latihan di pangkalan dan lapan minggu latihan luar pangkalan, yang dijalankan di sekitar daerah Rompin, Pahang.

Penyertaan KDPM Tengku Mahkota Pahang dalam latihan lasak itu bukan sahaja mencerminkan semangat kepimpinan dan ketahanan diri, malah mengukuhkan lagi simbol komitmen kerabat Diraja Pahang dalam memperkukuh pertahanan negara.

SAYS.com
Image via Kesultanan Pahang (Facebook)
SAYS.com
Image via Kesultanan Pahang (Facebook)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: