Perang Sudah Tamat, Hamas-Israel Laksana Gencatan Senjata & Pengunduran Tentera
Difahamkan, presiden AS, Donald Trump turut mengesahkan perjanjian tersebut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dalam perkembangan besar yang berpotensi mengubah landskap konflik Timur Tengah, Hamas pada Rabu mengesahkan bahawa satu perjanjian gencatan senjata dan pengunduran tentera Israel dari Gaza telah dicapai
Menurut kenyataan rasmi pergerakan itu, persetujuan bersejarah tersebut dimeterai selepas rundingan 'bertanggungjawab dan serius' diadakan bersama beberapa faksi perjuangan Palestin berhubung cadangan pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump) di Sharm el-Sheikh, Mesir.
Gencatan senjata, pengunduran tentera dan pertukaran tahanan

Hamas menjelaskan bahawa perjanjian itu bertujuan menamatkan perang pemusnahan terhadap rakyat Palestin, selain memastikan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, pembukaan laluan bantuan kemanusiaan, dan pelaksanaan pertukaran tahanan serta tebusan.
"Hamas mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai untuk menamatkan perang di Gaza, menjamin pengunduran penjajah, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, dan melaksanakan pertukaran tahanan," katanya.
Pergerakan itu turut merakam penghargaan kepada Qatar, Mesir dan Turkiye yang bertindak sebagai perantara utama, sambil memuji peranan Presiden Trump yang disifatkan penting dalam memastikan tercapainya pelan damai tersebut.

Dalam kenyataan sama, Hamas menyeru Presiden Trump sebagai negara penjamin perjanjian serta negara Arab dan Islam agar memastikan Israel melaksanakan semua komitmen tanpa sebarang kelewatan.
"Kami menyanjung rakyat Palestin di Gaza, Baitulmaqdis, Tebing Barat dan di luar negara yang menunjukkan keberanian serta keteguhan luar biasa menentang projek penjajahan yang menindas.
Pengorbanan mereka tidak akan sia-sia dalam perjuangan mencapai kebebasan dan penentuan nasib sendiri," tambah kenyataan itu.
Trump umum fasa pertama 'pelan damai' telah ditandatangani

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump turut mengesahkan perjanjian tersebut, menyatakan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani fasa pertama pelan damai yang merangkumi pelaksanaan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Trump menjelaskan bahawa perjanjian itu adalah hasil rundingan tidak langsung di Mesir, dan merupakan langkah pertama daripada pelan 20 perkara yang digariskannya untuk menamatkan konflik dua tahun di Gaza.
Sekiranya pelan tersebut berjaya dilaksanakan sepenuhnya, ia bakal menjadi kemajuan paling hampir ke arah penamatan peperangan, yang selama ini telah merebak menjadi konflik serantau melibatkan Iran, Yaman dan Lubnan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 