Peperiksaan SPM Tetap Akan Berlangsung, KPM Sedia Lokasi Alternatif Jika Berlaku Banjir
Calon yang berdepan kesukaran untuk hadir ke pusat peperiksaan turut diberi perhatian.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa semua pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kekal beroperasi seperti biasa meskipun beberapa kawasan berdepan banjir, lapor Berita Harian

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, persediaan awal dilakukan termasuk penyediaan lokasi peperiksaan alternatif di sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) atau berisiko dinaiki air.
Beliau menjelaskan bahawa calon tidak akan terjejas kerana dewan yang digunakan untuk penempatan mangsa banjir boleh digantikan dengan bilik darjah, asrama atau pusat peperiksaan lain yang telah dikenal pasti.
Katanya, perancangan tersebut dirangka lebih awal bersama Lembaga Peperiksaan bagi memastikan jadual peperiksaan berjalan tanpa gangguan.

KPM turut memantau sekolah yang berhampiran sungai atau kawasan sering terputus hubungan akibat banjir. Pemeriksaan di lokasi berisiko tinggi dilakukan sebelum peperiksaan bermula bagi memastikan sebarang tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan cepat.
Selain itu, calon yang berdepan kesukaran untuk hadir ke pusat peperiksaan turut diberi perhatian. Ada yang dipindahkan lebih awal ke asrama agar mereka berada lebih dekat dengan lokasi peperiksaan.
Ibu bapa juga dimaklumkan mengenai langkah-langkah tersebut, terutama bagi calon yang tinggal di kawasan berpotensi banjir. Dalam situasi tertentu, KPM menggunakan bantuan agensi kerajaan untuk mengangkut calon jika laluan biasa tidak dapat dilalui.
Setakat semalam, sebanyak 259 calon dikenal pasti terkesan oleh banjir. Namun, semuanya telah menerima bantuan diperlukan termasuk penempatan yang lebih selamat supaya mereka dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual
Kerjasama melalui Ops Payung bersama NADMA, bomba, polis dan agensi lain membolehkan bantuan digerakkan segera untuk calon serta pengawas peperiksaan. Koordinasi rapat ini memastikan proses peperiksaan tidak terjejas walaupun keadaan cuaca tidak menentu.
Sebelum peperiksaan bermula, Dr Mohd Azam turut melakukan lawatan ke SMK Putrajaya Presint 11(1) bagi bertemu 228 calon dan memberikan kata-kata semangat untuk membantu mereka memulakan peperiksaan dengan yakin.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 