Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Tercampak Ke Atas Kereta
Pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal.
Cover image via ThreadsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kematian tragis menimpa seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang semalam selepas mangsa dirempuh oleh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol serta dikesan positif dadah
Menurut kenyataan di Facebook, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, nahas yang berlaku pada jam 11.40 pagi itu melibatkan pertembungan antara sebuah motosikal dengan dua buah kereta.
"Siasatan awal mendapati sebuah Honda City yang dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an bergerak dari Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang secara melulu dan pada kelajuan tinggi.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal dari arah hadapan," katanya dalam kenyataan.

Mangsa tercampak ke atas bumbung kereta dan meninggal di tempat kejadian
Difahamkan, kesan rempuhan yang kuat mengakibatkan mangsa yang berumur dalam lingkungan 30-an itu melambung lalu jatuh di atas sebuah kereta Perodua Myvi.
Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian sebelum ujian saringan yang dilakukan ke atas suspek mengesahkan lelaki tersebut berada di bawah pengaruh alkohol serta positif dadah.
Suspek kini telah ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan pihak polis.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000. Lesen memandu juga boleh digantung serta-merta.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden tersebut agar segera tampil bagi membantu pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes tersebut.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



