Peniaga Nasi Lemak Di Perak Sanggup Kekal Harga 50 Sen Walaupun Sudah 30 Tahun Berniaga
Satu kepuasan buat beliau melihat orang dapat membeli nasi lemak murah untuk sarapan.
Cover image via BERNAMAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keuntungan bukan segala-galanya. Inilah prinsip yang dipegang oleh pembekal nasi lemak Othman Che Mat
Walaupun dengan harga kos bahan mentah yang kian meningkat, Othman tetap mengekalkan harga nasi lemak 50 sen sebungkus.
Dilaporkan oleh BERNAMA, Othman, 72, telah membekalkan nasi lemak kepada Warung Lejen di Sungai Bayor, Perak, yang pada mulanya bermula dengan 30 sen 30 tahun lalu dan dinaikkan kepada 50 sen sehingga sekarang.

Ramai orang bertanya mengapa masih jual nasi lemak 50 sen
Othman ada mengatakan dia sudah banyak kali disoal mengapa dia masih mengekalkan harga yang murah itu.
"Orang selalu tanya kenapa masih jual 50 sen, ada untung ke? Saya cuma senyum, sebab memang kalau ikut kiraan, untungnya tidak sebanyak mana," katanya.

Menurut Othman, warung tersebut telah mengambil 10 sen sebagai komisen, menjadikan harga "sebenar" nasi lemak itu hanya 40 sen setiap bungkus. Keuntungan bersih pula hanyalah RM15 hingga RM20 sehari.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih mampu bertahan," katanya lagi.
Othman setiap hari akan menyediakan lebih kurang 300 bungkus nasi lemak setiap hari kecuali pada hujung minggu dimana dia perlu menyediakan lebih 500 bungkus mengikut permintaan.
Setiap bungkus nasi lemak Othman mempunyai sambal, ikan bilis dan potongan satu perempat telus rebus.

Pemilik warung dan pelanggan tetap menganggap warung itu sudah menjadi identiti Sungai Bayor
Pemilik Warung Lejen, Ghazali Muda, 67 mengatakan harga tersebut sangatlah berbaloi.
"Warung ini dikunjungi oleh penduduk setempat dengan ada antaranya bekerja di ladang, penoreh getah selain warga emas dan pelajar sekolah. Jadi, nasi lemak50 sen in amat besar maknanya buat mereka," kata Ghazali.

Pelanggan tetap Warung Lejen, Tanzizi Abt Aziz, 62, juga mengatakan harga murah bukan sahaja sebab dia setia dengan warung tersebut. Nasi lemak asli sebegini juga kian sukar ditemui.
Selain nasi lemak 50 sen, warung itu turut menawarkan pelbagai hidangan tradisional yang lain.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



