“Pengurusan Kondominium Tak Boleh Dipersalahkan Atas Pecah Rumah” – Mahkamah Tinggi Shah Alam
Asma mendakwa beliau kehilangan barang kemas dan barangan berharga bernilai RM104,200.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini memutuskan bahawa pihak pengurusan kondominium tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kejadian pecah rumah yang berlaku dalam unit persendirian
Menerusi laporan Harian Metro, Hakim Dr Choong Yeow Choy dalam penghakimannya berkata, walaupun mahkamah bersimpati dengan pemilik rumah yang menjadi mangsa, namun Akta Pengurusan Strata (APS) tidak mewajibkan pengurusan menyediakan kawalan keselamatan dalaman.
Tambah beliau, perkara itu hanya boleh dilaksanakan jika terdapat persetujuan bersama dalam kalangan penduduk.
Keputusan ini sekali gus menolak rayuan seorang wanita, Asma Ahmad Shariff, yang sebelum ini menyaman pihak pengurusan Kondominium Tiara Damansara lebih RM100,000 selepas unit miliknya dirompak kira-kira tujuh tahun lalu.

Gambar sekadar hiasan.
Image via UtusanDakwa kehilangan barang kemas dan barangan berharga bernilai RM104,200
Asma mendakwa dia bukan saja kehilangan barang kemas dan barangan berharga bernilai lebih RM104,000, malah terpaksa mengeluarkan RM4,000 lagi untuk kos membaiki kerosakan selepas rumahnya dipecah masuk.
Wanita itu juga menuduh pihak pengurusan kondominium cuai serta gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan penghuni.
Namun begitu, Hakim Yeow Choy dalam penghakiman bertarikh 18 Ogos lalu menyifatkan insiden yang menimpa Asma sebagai sesuatu yang memang malang, tetapi keputusan mahkamah tetap memihak kepada pihak pengurusan.
"Asma berpendapat bahawa beliau berhak secara undang-undang untuk mendapat pampasan bagi kerugian yang dialaminya dan suami.
"Tuntutannya berasaskan kepada satu peruntukan dalam APS yang mendakwa ia menjadi kewajipan secara undang-undang bagi pihak pengurusan untuk mengekalkan dan mengurus sistem keselamatan demi manfaat penduduk.
"Beliau (Asma) berpendirian bahawa kewajipan undang-undang untuk 'menyelenggara dan mengurus bangunan berstrata' turut merangkumi tanggungjawab untuk menyelenggara dan mengurus sistem keselamatan demi kepentingan penghuni," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianDalam penghakimannya, Hakim Yeow Choy menjelaskan mahkamah tidak dapat menerima hujah plaintif yang menuduh pihak pengurusan cuai.
Menurutnya, tahap keselamatan sesebuah kondominium sebenarnya bergantung pada apa yang dipersetujui bersama oleh penduduk serta jumlah bayaran yang mereka sanggup keluarkan untuk tujuan tersebut.
Beliau menambah lagi, pihak pengurusan juga sudah pun melaksanakan tanggungjawab mereka dengan melantik Golden Eagle Security Services Sdn Bhd bagi menjaga keselamatan kondominium berkenaan.
"Tanggungjawab terletak pada plaintif untuk membuktikan pelanggaran tanggungjawab berdasarkan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif gagal menunaikan beban pembuktian terbabit," katanya.
Mahkamah juga mengarahkan Asma membayar kos sebanyak RM10,000.
Peguam Simon Murali Kalimuthu dan Kok Yuen Lin mewakili Asma, manakala pihak pengurusan diwakili oleh Emily Chong dan Bryan Tan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 