Pengunjung Taman Laut Kini Wajib Bawa Pulang Plastik Sampah Sendiri Mulai 2026
Langkah tegas kerajaan itu bagi mengekang pencemaran marin yang semakin membimbangkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Semua pengunjung Taman Laut Malaysia bakal diwajibkan membawa pulang semula sampah masing-masing ke darat bermula 1 Januari depan
Menerusi laporan Bernama, ia susulan langkah tegas kerajaan untuk mengekang pencemaran marin yang semakin membimbangkan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut yang berlangsung semalam. keputusan itu dicapai melalui mesyuarat berkenaan.
"Ketetapan ini turut disokong wakil kerajaan negeri Kedah, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam pemuliharaan marin.
"Ketetapan baharu ini menegaskan komitmen negara dalam memastikan kawasan perlindungan marin kekal bersih, sihat dan lestari," menurut kenyataan itu.

Tingkatkan kesedaran tentang bahaya pencemaran plastik
KPKM menekankan bahawa pencemaran plastik telah memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin, termasuk kerosakan terumbu karang, kematian hidupan laut, serta peningkatan mikroplastik yang akhirnya menjejaskan kesihatan manusia dan keterjaminan makanan negara.
"Pengusaha bot, pusat selaman, pemandu pelancong, komuniti setempat dan industri pelancongan diseru untuk bersama-sama menjayakan kempen 'Bawa Pulang Sampah Anda'," menurut kenyataan itu.
KPKM menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat penting untuk meningkatkan kesedaran tentang ancaman pencemaran plastik dan kepentingan menjaga sumber makanan negara.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, berkata keputusan mewajibkan semua pengunjung Taman Laut Malaysia membawa pulang sampah masing-masing ke darat menunjukkan komitmen kerajaan dalam memelihara biodiversiti marin negara.
"Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam hidupan laut, malah memberi kesan langsung kepada rantaian makanan dan kesejahteraan rakyat.
"Dengan sokongan semua pihak, usaha pemeliharaan dapat diperkukuh bagi memastikan Taman Laut Malaysia kekal terpelihara untuk generasi akan datang," katanya.

Selain itu, KPKM memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut turut membincangkan inisiatif strategik berasaskan sains, iaitu Pemetaan Kawasan Penting Pesisir dan Marin Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti dan memelihara kawasan sensitif, termasuk tapak pembiakan kritikal dan habitat terumbu karang yang terancam, bagi melaksanakan langkah perlindungan yang lebih berkesan.
"KPKM menggalakkan kerajaan negeri memberikan penekanan khusus terhadap aspek konservasi marin dalam mempertimbangkan agihan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) yang diterima melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
"Peruntukan berkenaan wajar disalurkan secara fokus kepada inisiatif pemuliharaan berimpak tinggi yang menyokong pelaksanaan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di peringkat negeri," menurut kenyataan itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 