Penghuni Rumah Terkejut, Ular Sawa Gergasi 80KG Tiba-Tiba Jatuh Dari Siling Bilik Tidur
Ular sawa gergasi ditangkap itu dianggarkan sepanjang 10 meter.
Cover image via @redzuanNewsMPB (X)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang penghuni rumah di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang itu berdepan detik cemas apabila seekor ular sawa gergasi seberat lebih 80 kilogram tiba-tiba jatuh dari siling bilik kediamannya
Menerusi laporan Berita Harian, Mazlan Zakaria, 67 tahun berkata kejadian itu berlaku ketika dia berada di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat seperti runtuhan dari bilik anak perempuannya.
Pada mulanya, dia menyangka siling rumah mereka sekadar rosak akibat usia bangunan.
Namun, sebaik diperiksa, Mazlan terkejut besar apabila mendapati runtuhan itu berpunca daripada kehadiran seekor ular sawa yang jatuh bersama serpihan siling.

Pesara berkenaan sekali lagi dikejutkan dengan bunyi runtuhan kedua. Ketika bergegas ke bilik berkenaan, dia terperanjat apabila mendapati seekor ular sawa sepanjang kira-kira 10 meter sedang terbaring di atas katil, bersama sisa runtuhan siling yang berselerakan.
"Kebelakangan ini memang terdapat bunyi di atas bumbung, saya ingat tikus atau anak musang yang berlari pada waktu malam dan hari ini kami sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran ular yang sangat besar dari siling bumbung rumah.
"Kami segera buat panggilan 999 untuk minta bantuan sebelum pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang mengeluarkan ular berkenaan dari rumah," katanya.

Rumah pernah 'didatangi' reptilia yang sama jenis
Sementara itu, anak perempuan Mazlan yang mahu dikenali sebagai Wani, 20, mendedahkan bahawa kira-kira dua tahun lalu rumah mereka pernah juga 'didatangi' reptilia yang sama jenis.
"Ketika itu ular hanya berada di laman rumah, tak sempat masuk dan ditangkap, tetapi hari ini seekor lagi berada di atas siling bilik. Mujur ketika kejadian saya berada di luar bilik," katanya.
Menurut Pegawai APM Daerah Kuantan, Mejar (PA) Zahidi Zainudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.53 pagi sebelum menghantar 10 anggota bersama dua pegawai ke lokasi.
Beliau berkata, operasi menangkap ular sawa tersebut mengambil masa hampir 45 minit memandangkan saiznya yang sangat besar dan panjang, sekali gus menyukarkan proses mengeluarkannya dari dalam rumah.
"Ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



