Pengantin Belanja Hampir RM4,000 Untuk Warnai Majlis Bersanding Dengan Tema Manchester United
Dia juga bersyukur kerana majlis dirancang berjalan dengan lancar daripada awal hingga ke akhirnya.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Minat mendalam terhadap kelab bola sepak Manchester United mendorong Mohd Amir Fadzly Mohamad Siraj, 31, membelanjakan hampir RM4,000 bagi merealisasikan majlis persandingan bertemakan kelab gergasi tersebut
Eksekutif syarikat swasta itu sanggup melabur untuk menyediakan pelbagai kelengkapan majlis termasuk cenderahati, pelekat, banting, dan reruai gambar yang dihiasi logo kelab kesayangannya demi mencipta kenangan unik di hari bahagia.
Mohd Amir Fadzly yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Hajar Ithnin, 35, pada 16 Januari lalu telah melangsungkan majlis bertema tersebut di sebuah dewan di Pandan Indah, Ampang, Selangor pada keesokan harinya.
Jelas beliau menerusi laporan Harian Metro, pemilihan tema Manchester United itu dilakukan kerana ingin mengabadikan aura kelab ternama Liga Perdana Inggeris tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah penting perkahwinannya.

Isteri setuju dengan tema kerana merupakan penyokong Manchester United juga
Selaku peminat tegar sejak usia lima tahun, Presiden Kelab Peminat Gerakan Evolusi Manchester United Kebal (G.E.M.U.K) ini menyifatkan majlis tersebut sebagai penghormatan kepada kelab kesayangannya serta idola legenda, Sir David Beckham.
"Ikutkan, saya nak pakai persalinan bermotifkan Manchester United namun tak kesampaian kerana tiada saiz jadi hanya sarung sut dengan padanan kemeja berwarna merah di dalam.
"Isteri setuju dengan tema ini kerana dia pun penyokong Manchester United, begitu juga keluarga terutama ayah (Mohamad Siraj Habeeb Mohameed, 57) yang bantu uruskan majlis ini mengikut tema.
"Syukur kerana dapat siapkan kad jemputan, cenderahati dan yang lain mengikut tema saya inginkan," katanya.

Mohd Amir Fadzly turut melahirkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang rapi itu berlangsung dengan sempurna dan berjalan lancar dari awal hingga ke penghujungnya.
"Saya nampak tetamu pun datang pun teruja melihat suasana dalam dewan kerana rata-ratanya tahu saya peminat tegar Manchester United.
"Bertambah gembira kerana kebetulan, Manchester United baru meraih kemenangan 2-0 selepas menewaskan Manchester City dalam perlawanan EPL pada hari persandingan saya.
"Majlis itu akan saya kenang sampai bila-bila dan jika ada rezeki, saya memang nak bawa isteri dengan keluarga menjejakkan kaki ke Old Trafford, Manchester satu hari nanti," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



