Pendaftaran Murid Tahun Satu Sesi 2027 Dibuka Mulai 15 Februari Ini – KPM
Proses pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS).
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pendaftaran murid Tahun Satu bagi sesi akademik 2027 akan dibuka bermula 15 Februari hingga 31 Mac ini, termasuk bagi kanak-kanak berusia enam tahun, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Menerusi kenyataan di Facebook, KPM memaklumkan pendaftaran tersebut terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia daripada dua kohort umur, iaitu kanak-kanak berusia enam tahun (5+) yang lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021, serta kanak-kanak berusia tujuh tahun (6+) yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
Menurut kenyataan itu, proses pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) di pautan https://idme.moe.gov.my.
"Keputusan ini selaras dengan dasar kerajaan yang membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) memasuki Tahun Satu secara sukarela mulai 2027 tanpa perlu menduduki ujian saringan," katanya.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kebimbangan bahawa pelaksanaan ujian diagnostik berkenaan boleh memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak serta berpotensi bersifat diskriminatif.
Menurut KPM, inisiatif menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke Tahun Satu merupakan satu langkah progresif kerajaan bagi memastikan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak, selain mengelakkan mereka daripada ketinggalan dalam pendidikan.
"Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
"Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh dirujuk menerusi laman portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya.
Lihat posting di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 