Penceramah Agama 70 Tahun Didakwa Cabul Isteri Orang Di Villa Mengaku Tak Bersalah
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan terhadap wanita berusia 46 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.
Cover image via Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang penceramah agama bebas berusia 70 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul seorang wanita yang juga isteri orang, dalam kejadian yang didakwa berlaku awal tahun lalu

Menurut laporan Kosmo!, tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan terhadap wanita berusia 46 tahun dengan niat mencabul kehormatannya kira-kira jam 9 pagi di sebuah villa di Pengkalan Balak, Masjid Tanah dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Januari 2025.
Kes didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Dakwa arah mangsa urut badan, ugut akan ditimpa musibah
Difahamkan, kejadian berlaku apabila suami mangsa yang juga pengikut kuliah agama tertuduh menerima panggilan telefon memintanya menghantar isteri dan anak perempuan mereka ke villa berkenaan.
Sebaik tiba, tertuduh didakwa mengarahkan mangsa mengurut badannya dan memberi amaran kononnya keluarga mereka akan ditimpa musibah sekiranya arahan itu tidak dipatuhi.
Dia juga didakwa menyatakan tindakan enggan menurut arahan sebagai tidak menghormati 'Tuan Guru'. Suspek kemudian didakwa menolak mangsa ke atas katil sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap wanita berkenaan.
Mangsa yang trauma selepas kejadian membawa anaknya keluar dari lokasi sebelum membuat laporan polis.
Jaminan dikurangkan kepada RM3,000
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding.
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Denial Khairul Hizam merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan ceramah agama.
Beliau turut memaklumkan tertuduh menghidap radang perut serta mengalami masalah saraf di tulang belakang dan kedua-dua bahu selain sedang menjalani rawatan di hospital swasta.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. Kes masih di peringkat perbicaraan dan tertuduh kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



