Pemuda Sukarela Potong Rumput & Bersihkan Sendiri Kawasan Sekitar Di Kota Bharu Dipuji
Kerja komuniti dilakukan sejak empat bulan lalu itu pada awalnya untuk mengisi masa lapang sahaja.
Cover image via NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMARFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang anak muda di Kota Bharu mencuri perhatian apabila sanggup mengorbankan masa dan tenaga melakukan kerja komuniti demi memastikan kawasan bandar sentiasa bersih dan selamat dilalui orang ramai
Anak muda berusia 24 tahun itu, Rizal Amin, merupakan pengasas Hiyaz Community, sebuah inisiatif yang dijalankan atas semangat sukarelawan tanpa sebarang bayaran.
Setiap kali berkelapangan, Rizal akan turun padang untuk memotong rumput di tepi jalan, mencuci longkang, membuang dahan pokok yang tumbang, membersihkan pondok menunggu bas serta mencuci kaki lima di laluan pejalan kaki sekitar bandar.

Kerja komuniti dilakukan pada waktu pagi atau petang sekiranya dia mempunyai masa terluang
Rizal Amin, anak muda berusia 24 tahun yang aktif melakukan kerja komuniti di sekitar Kota Bharu, berkata aktivitinya kini turut dikongsikan di laman TikTok sebagai usaha memberi inspirasi kepada orang lain supaya turut sama menjaga kebersihan persekitaran.
Katanya, platform media sosial itu menjadi ruang untuk mengajak lebih ramai individu menyertai aktiviti pembersihan di kawasan terbiar.
"Dua rakan baik saya berminat untuk menyertai dan mereka juga meluangkan masa membersihkan kawasan terbiar bersama saya.
"Kami melakukan kerja komuniti ini dengan ikhlas kerana mahu memastikan bandar ini yang menjadi pusat pelancongan sentiasa bersih," katanya.

Rizal yang bekerja sendiri sebagai pereka grafik berkata, kerja komuniti itu kebiasaannya dilakukan pada waktu pagi atau petang apabila mempunyai masa terluang.
Anak bongsu daripada empat beradik itu turut menggunakan pelbagai peralatan termasuk mesin rumput, mesin penyapu daun, penyapu besi, galah serta beberapa peralatan lain bagi memastikan setiap kerja pembersihan dilakukan dengan sempurna.
"Alat ini saya beli dan ada buat sendiri untuk menyesuaikan dengan lokasi pembersihan. Ada lokasi perlukan galah panjang seperti mencuci atap pondok bas terbiar dan sesetengah kawasan perlu guna mesin rumput.
"Saya akan bawa alat yang sesuai dan meluangkan masa mencuci lebih dua jam setiap sesi," katanya.
Menurut Rizal, minatnya terhadap kerja kebajikan sudah mula bercambah sejak berusia 15 tahun apabila membantu arwah ibunya, Rubiah Alias, membersihkan laman rumah.
"Saya menggunakan kemahiran yang ada untuk berbakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama mengajak orang ramai untuk sama-sama melakukan kerja komuniti.
"Saya juga menyeru pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) supaya sentiasa memantau kawasan termasuk lokasi terbiar yang dipenuhi rumput panjang yang membahayakan pengguna," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



