Pemilik Restoran Di Johor Cari Pelanggan Tersilap Bayar RM3,000 Untuk Seekor Ikan Stim
Restoran itu mahu memulangkan semula jumlah bayaran yang telah terlebih caj.
Cover image via 浅水湾海番村 Senibong Bay Seafood (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah restoran makanan laut di Masai, Johor kini sedang mencari seorang pelanggan yang secara tidak sengaja telah dikenakan caj hampir RM3,000 bagi hidangan ikan minggu lalu
Dalam satu hantaran di Facebook, Senibong Bay Seafood memohon maaf atas kesilapan itu yang berlaku pada Khamis, 21 Ogos, ketika pelanggan dikenali sebagai Nina bersama keluarganya duduk di Meja 51.
"Disebabkan kesilapan ketika mengira, ikan seberat 1.25kg tersalah caj sebagai 12.5kg, sekali gus menyebabkan jumlah bil melambung tinggi," jelas pihak restoran.
Mereka turut memaklumkan bahawa pelanggan berkenaan sudah membuat bayaran penuh sebelum kesilapan tersebut disedari.
"Kami akui kesalahan ini sepenuhnya. Pihak kami juga telah melakukan semakan dalaman bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang," kata pihak restoran itu.

Restoran itu kini merayu agar Nina tampil untuk mendapatkan semula wang yang telah terlebih caj
"Jika anda adalah pelanggan di Meja 51 pada malam tersebut (nombor invois 115082), sila hubungi kami dan berikan sama ada resit asal atau bukti pembayaran untuk tujuan pengesahan. Kami akan memproses bayaran balik serta-merta mengikut kaedah pembayaran asal," kata mereka.
Senibong Bay Seafood turut menegaskan bahawa mereka mahu melakukan perkara yang betul, walaupun pelanggan itu sendiri mungkin tidak menyedari kesilapan tersebut.
"Kepercayaan pelanggan lebih penting daripada segalanya. Bila berlaku kesilapan, kita mesti mengaku dan membetulkannya," jelas pihak restoran.
Mereka juga berkongsi foto resit yang menunjukkan caj RM2,975 untuk hidangan ikan kerapu merah stim gaya Kantonis, selain tangkap layar ulasan lima bintang yang dipercayai ditinggalkan oleh pelanggan berkenaan di Google.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



