Pemandu Vellfire Caj Penumpang Lebih RM200 Dari KLIA2 Ke KL, Dakwa Hanya ‘Cari Pendapatan Lebih’
Pengguna digalakkan untuk membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing berdaftar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki dipercayai 'ulat' teksi yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2)
Hasil risikan dan pemantauan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA, lelaki tersebut ditahan selepas disyaki memujuk dan menawarkan khidmat pengangkutan kepada enam penumpang warganegara Belgium yang baru tiba di terminal berkenaan.
Menerusi Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, suspek menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire untuk membawa penumpang dari KLIA2 ke The Platinum 2, Kuala Lumpur dengan kadar tambang RM225, yang dijanjikan akan dibayar setelah sampai ke destinasi.

Kenderaan disita untuk siasatan lanjut, seru orang ramai salurkan maklumat aktiviti pengangkutan haram
Susulan penahanan itu, kenderaan terbabit turut disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
JPJ dalam kenyataannya berkata, mana-mana individu yang disabit kesalahan di bawah Seksyen 205(1) APAD 2010 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Malah, mereka yang bersubahat dalam aktiviti ini juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 243(1) akta sama.
Justeru, orang awam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri atau menggunakan khidmat pengangkutan haram yang beroperasi tanpa lesen sah di kawasan lapangan terbang.
Sebaliknya, pengguna digalakkan untuk membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing berdaftar atau menggunakan perkhidmatan di kaunter rasmi yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan penipuan tambang.
JPJ turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengangkutan haram kepada pihak berkuasa melalui e-mel [email protected] atau aplikasi e-Aduan@JPJ dengan menyertakan butiran lengkap aduan dan pengadu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 