Pelancong Itali Puji Malaysia, Katanya Lebih Moden Dari Banyak Negara Maju Lain
Malaysia on top of the world!
Cover image via @nomadspritz (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tidak dinafikan, Malaysia sememangnya sebuah negara yang sedang pesat membangun dan kaya dengan pelbagai sumber asli serta tarikan semula jadi
Dengan gabungan keindahan alam, kepelbagaian budaya, makanan yang unik serta masyarakat yang mesra, Malaysia terus mencuri perhatian dunia sebagai destinasi pelancongan yang semakin popular di Asia.
Saban tahun, negara kita menerima jutaan pelancong dari pelbagai negara, sekali gus menjadikan industri pelancongan sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Fenomena ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang stabil, mesra pelawat dan penuh potensi.

Pelancong Itali kagum dengan keadaan di Malaysia
Sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, @nomadspritz, baru-baru ini tular selepas dia berkongsi pengalaman yang mencabar naratif biasa tentang negara 'maju' dan 'sedang membangun'.
Difahamkan, dia telah mengembara sekitar Asia Tenggara lebih dua tahun dan meluahkan rasa kagum terhadap kebersihan, keselamatan dan kecekapan bandar-bandar utama di Malaysia, khususnya George Town dan Kuala Lumpur.
"Kalau ini dianggap 'bandar kecil yang tak dikenali' di Malaysia, saya tak tahu nak cakap apa," katanya sambil berdiri di tengah kawasan George Town.
"Ini George Town. Penang. Malaysia."
Pengalaman ringkas itu cukup untuk membuka mata ramai penonton luar, bahawa Malaysia bukan sekadar 'negara membangun' biasa, tetapi mempunyai daya saing dan tarikan yang setanding negara maju lain.

Kongsi rasa Malaysia bersih dan lebih selamat dari negara lain yang pernah dilawati
Menurutnya, Kuala Lumpur terasa jauh lebih bersih dan selamat berbanding banyak bandar lain yang pernah dilawatinya termasuk di negara-negara yang sering dilabel sebagai "maju".
Malah, dia memberitahu Malaysia dan Thailand kini terasa lebih 'first world' berbanding apa yang dibayangkan oleh ramai orang Barat sejak kecil.
"Bila tinggal di Asia Tenggara, perspektif saya berubah. Di Barat, banyak perkhidmatan awam semakin merosot. Tapi kat sini, segalanya rasa stabil dan berfungsi." katanya.
Dia juga menyentuh bagaimana infrastruktur di Malaysia berjalan dengan baik, rakyat nampak gembira, dan kehidupan harian terasa lebih tenang dan seimbang.
"Segalanya berfungsi. Orang nampak bahagia. Hidup rasa seimbang," katanya ringkas.
Siapa sangka, pengalaman hidup di Malaysia boleh ubah pandangan seseorang tentang erti 'negara maju'.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



