Pelakon Malaysia Zheng Xi Yong Jadi Perhatian, Tampil Dalam Musim Baharu Siri Bridgerton Di Netflix
Wah, anak ada anak Malaysia berlakon!
Cover image via @yongzhengxi (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Khabar gembira buat peminat siri popular Netflix, Bridgerton!
Menurut laporan Malay Mail, sentuhan Malaysia bakal menghiasi dunia mewah era Regency melalui penyertaan pelakon kelahiran Miri, Sarawak, Zheng Xi Yong.
Pelakon berusia 32 tahun ini akan memegang watak sebagai Lord Barnaby, salah seorang muka baharu yang bakal menghangatkan kancah persaingan masyarakat kelas atasan London (the "Ton") dalam musim akan datang.
Penyertaan Zheng dalam siri ini bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi detik penting bagi representasi Asia Tenggara dalam produksi bertaraf dunia.
Jika wajahnya kelihatan biasa di mata anda, beliau sebelum ini pernah muncul dalam filem pecah panggung Barbie serta salah satu episod siri fiksyen sains popular di Apple TV, Silo.

Profil semakin meningkat di persada global
Semakan di media sosial beliau juga mendedahkan bahawa Zheng bukan asing dalam dunia teater. Beliau baru-baru ini memegang watak sebagai Luis Carruthers dalam pementasan semula American Psycho di London.
Profilnya di persada global dilihat semakin meningkat naik apabila beliau juga dijadualkan muncul dalam filem akan datang, Bridget Jones: Mad About The Boy, serta siri Sandokan. Melalui hantaran di Instagram, Zheng berkongsi keterujaannya.
"Pembaca tersayang, ini kini akaun peminat Posy Li. Saya sangat menikmati masa saya di @bridgertonnetflix dan semua orang yang saya temui dan bekerjasama! Benar-benar satu mimpi untuk menjadi sebahagian daripada semua ini," tulisnya.

Musim terbaharu ini, yang dijangka memberi tumpuan kepada kisah cinta Benedict Bridgerton berteraskan elemen dongeng Cinderella, turut memperlihatkan satu lagi kaitan signifikan dengan Malaysia.
Bintang filem Harry Potter, Katie Leung yang cukup dikenali melalui watak Cho Chang bakal menyertai barisan pelakon sebagai Lady Araminta Gun.
Menariknya, Katie yang mempunyai bapa kelahiran Malaysia, akan menggalas peranan sebagai watak ibu tiri yang digeruni dalam plot musim ini.
Kehadiran Zheng Xi Yong dan Katie Leung dalam dunia elit "Ton" menjadikan Bridgerton Musim Keempat bukan sekadar naskhah romantik yang dinanti-nantikan, malah ia merupakan satu mercu tanda penting bagi keterlihatan bakat Asia Tenggara di pentas penstriman global.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



