Pelajar SMK Dato’ Ahmad Maher Cipta ‘Colourguard’, Inovasi Kubis Ungu Kesan Pewarna Tiruan Dalam Makanan
Bijak dan kreatif!
Cover image via BERNAMAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tiga pelajar muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher, Kota Bharu, membuktikan bahawa kreativiti dan sains boleh bergabung menghasilkan inovasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat
Menurut laporan Sinar Harian, mereka mencipta Colourguard, iaitu satu larutan berasaskan kubis ungu yang mampu mengesan pewarna tiruan dalam makanan dan minuman.
Dibangunkan hanya dalam masa seminggu, Colourguard dihasilkan daripada air rebusan kubis ungu yang kaya dengan pigmen antosianin, sejenis bahan semula jadi yang bertindak sebagai penunjuk pH.
Melalui reaksi kimia mudah, larutan ini mampu menukar warna apabila bertindak balas dengan bahan pewarna tiruan dalam sampel makanan.

"Caranya mudah, letakkan sampel makanan pada kapas atau kain putih, kemudian titiskan larutan Colourguard dan tunggu antara 30 hingga 40 saat.
"Jika mengandungi pewarna tiruan, warna akan berubah mengikut tahap pH bahan tersebut," katanya.
Idea itu tercetus selepas mereka mengetahui tentang kesan negatif pewarna tiruan terhadap kesihatan termasuk kaitannya dengan penyakit buah pinggang dan masalah hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak
Selain Ameer, dua lagi pelajar Tingkatan Tiga yang turut membangunkan projek itu ialah Muhammad Aiman Hakim Najeli dan Syed Adheem Syed Khairudin.
Menariknya, mereka memilih kubis ungu selepas menilai beberapa bahan semula jadi lain seperti bunga telang dan anggur, namun mendapati kubis lebih murah, mudah diperoleh, serta memberikan perubahan warna yang lebih jelas dan konsisten.

Inovasi tersebut bukan sahaja menarik perhatian juri, malah berjaya merangkul pingat emas Anugerah Kluster Terbaik (Kluster Sains, kategori sekolah menengah) pada Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan, yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, sempena Festival of Idea @ Kelantan (FOI@Kelantan) 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Walaupun projek itu masih di peringkat awal, kumpulan tersebut merancang untuk menambah baik formulasi agar tahan lebih lama pada suhu bilik serta sedang meneliti proses paten bagi melindungi hak cipta mereka.

"Larutan ini belum tahan lama pada suhu bilik. Jadi, kami merancang untuk menambah baik formulasi serta meneliti proses paten bagi melindungi hak cipta produk ini," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



