Pelajar Orkestra KYSM Serlah Bakat Di Beijing, Harumkan Nama Malaysia Di Peringkat Antarabangsa

Bangga tengok pencapaian adik-adik wakil Malaysia!

Enlarge text
Cover ImageCover image via Sinar Bestari
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pelajar orkestra Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) sekali lagi membuktikan keupayaan mereka di pentas global apabila tampil dengan persembahan berkualiti tinggi dalam program kolaboratif bersama BFSU Foreign Languages School di Beijing, China, baru-baru ini

Menurut laporan Sinar Bestari, program berimpak besar itu dianjurkan sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua institusi pendidikan melalui kerjasama muzik, pertukaran budaya serta perkongsian akademik yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar.

Lebih daripada sekadar persembahan, penyertaan ini membuka ruang penting untuk pelajar KYSM memperluas pengalaman antarabangsa selain mempromosikan identiti sekolah dan Malaysia di hadapan komuniti global.

Persembahan 'Harmonious Echoes, Everlasting Friendship' rai keunikan Malaysia

Dalam konsert bertema 'Harmonious Echoes, Everlasting Friendship', pelajar Tingkatan Satu hingga Empat KYSM mempersembahkan lagu klasik Rasa Sayang, sekali gus menonjolkan keindahan budaya dan warisan negara kepada penonton antarabangsa.

Paduan bakat, disiplin dan komitmen para pelajar berjaya menghasilkan persembahan orkestra yang meninggalkan impak mendalam, mengangkat semangat Malaysia di pentas luar negara.

Pengalaman budaya yang memperkaya perspektif pelajar

Selain membuat persembahan, pelajar juga menyertai pelbagai aktiviti budaya masyarakat Cina seperti Wushu, pembuatan layang-layang, persembahan wayang kulit dan seni kaligrafi.

Pendedahan langsung kepada tradisi masyarakat setempat ini bukan sahaja memperluas pengetahuan mereka, malah membuka pemahaman baharu terhadap keunikan budaya China sebagai sebuah tamadun besar dunia.

Mereka turut berkesempatan melawat beberapa mercu tanda bersejarah seperti Tembok Besar China, Temple of Heaven dan Kota Larangan – antara destinasi yang menjadi simbol ketamadunan dan nilai sejarah tinggi negara itu.

Mengangkat nama KYSM sebagai institusi bertaraf antarabangsa

SAYS.com
Image via

Penyertaan ini bukan sahaja menyerlahkan bakat pelajar KYSM, tetapi juga menegaskan reputasi sekolah tersebut sebagai institusi pendidikan yang menekankan pembangunan holistik.

Untuk rekod, KYSM ialah sekolah menengah swasta terkemuka yang menawarkan Kurikulum Kebangsaan Malaysia digabungkan dengan Kurikulum Cambridge (IGCSE).

Pendekatan komprehensif sekolah itu turut merangkumi program nilai tambah seperti pengaturcaraan, kecerdasan buatan (AI), pendidikan muzik, seni persembahan, Bahasa Mandarin dan program bimbingan.

Sejak ditubuhkan pada 1995, KYSM terus melahirkan pelajar berkualiti yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dengan pencapaian terbaharu ini, pelajar KYSM bukan sahaja berjaya mengharumkan nama sekolah, malah membawa imej Malaysia ke persada dunia sebagai generasi muda yang berbakat dan berdaya saing.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik