Pelajar Mengaku Salah Tumbuk Guru, Mahkamah Majistret Kajang Benarkan Ikat Jamin RM1,000
Mahkamah menetapkan 11 September ini bagi laporan akhlak tertuduh daripada JKM sebelum hukuman dijatuhkan.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Remaja lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki, dalam kejadian tular di sebuah sekolah menengah di Kajang baru-baru ini
Menurut laporan FMT Malaysia, tertuduh berusia 14 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut pertuduhan, pelajar peralihan tingkatan 1 berkenaan didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki berusia 29 tahun, dalam kejadian pada 4.48 petang, Isnin lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, manakala tertuduh diwakili peguam S Priyalatha.

Ibu bapa remaja terbabit juga dilihat hadir di mahkamah bagi menghadiri prosiding pertuduhan itu
Menurut laporan, pengamal media yang membuat liputan pertuduhan kes itu tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.
Ibu remaja terbabit berusia 40-an berkata, tertuduh adalah anak tunggal dan tinggal bersamanya selepas berpisah dengan bekas suami.
Wanita itu memberitahu anaknya kesal dengan tindakan menumbuk guru dan ada memohon maaf kepadanya.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes berkenaan serius dan tular di media sosial.
Namun, peguam memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh adalah pesalah juvana masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September ini bagi laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



