Pegawai Tadbir Rugi RM220,000 Diperdaya Sindiket Menyamar Pegawai Bank & Polis
Bagi meyakinkan modus operandi ini lagi, mangsa turut diarahkan melaporkan diri melalui panggilan telefon setiap kali masuk waktu solat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pegawai tadbir berusia 31 tahun kerugian lebih RM220,000 selepas terjerat dalam helah sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai bank dan anggota polis
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 3.15 petang semalam, selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, lapor Berita Harian.
Kejadian bermula pada 3 September lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebuah bank. Mangsa dimaklumkan kononnya dia memiliki akaun di Johor yang terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Tidak lama selepas itu, panggilan disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai 'Sarjan Khairudin' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. Suspek mendakwa mangsa disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan diarahkan menyerahkan maklumat semua akaun bank, termasuk Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bagi meyakinkan modus operandi ini lagi, mangsa turut diarahkan melaporkan diri melalui panggilan telefon setiap kali masuk waktu solat. Dalam tempoh itu, dia diminta memindahkan wang simpanannya iaitu RM25,000 dari ASB dan RM5,000 dari Tabung Haji ke akaun yang dikatakan milik juruaudit Bank Negara
Mangsa kemudian diarahkan membuat semakan pinjaman bank dan dimaklumkan layak mendapat pinjaman sebanyak RM200,000. Mengikut arahan suspek, dia tidak dibenarkan mendedahkan tujuan pinjaman kepada pihak bank atau majikan.
Buat tujuh transaksi berjumlah RM190,000 ke akaun diarahkan

Apabila pinjaman berjumlah RM194,461 diluluskan pada 8 Oktober, mangsa terus membuat tujuh transaksi ke akaun yang diarahkan, berjumlah RM190,000.
Penipuan itu hanya disedari selepas semua talian komunikasi dengan sindiket terputus dan nombor telefon suspek tidak lagi dapat dihubungi.
Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali dan segera membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 