PDRM Umum Diskaun Saman Trafik Besar-Besaran Hingga 70% Bermula 1 November Ini
Pengguna jalan raya boleh mengambil peluang menyelesaikan kewajipan mereka lebih awal.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Orang ramai kini berpeluang melangsaikan saman trafik dengan kadar lebih rendah apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan tawaran pengurangan bayaran sehingga 70 peratus bagi tempoh 1 November hingga 30 Disember ini
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kempen khas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sekali gus memberi ruang kepada pesalah trafik menyelesaikan saman tertunggak sebelum kadar kompaun baharu dikuatkuasakan.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kempen tersebut selaras dengan pendekatan baharu kerajaan bagi menyeragamkan kadar dan kaedah kompaun antara PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2026.
"Bermula pada 1 Januari 2026, dengan prinsip 'The Less You Delay, The Less You Pay', orang ramai boleh menikmati kadar kompaun yang lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal," katanya dalam kenyataan.

Proses pembayaran boleh dibuat di platform MyBayar PDRM dan kaunter
Beliau menjelaskan bahawa tawaran pengurangan saman trafik sehingga 70 peratus ini bertujuan memberi ruang kepada masyarakat melunaskan saman tertunggak sebelum kadar baharu dikuatkuasakan tahun hadapan.
Langkah ini dilihat sebagai strategi transisi penting sebelum sistem kompaun trafik baharu bermula, sambil memastikan lebih ramai pengguna jalan raya mengambil peluang menyelesaikan kewajipan mereka lebih awal.
Menurutnya, proses pembayaran boleh dibuat dengan mudah melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna yang telah berdaftar melalui MyDigital ID, selain kaunter trafik di seluruh daerah serta pejabat pos Malaysia di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa insentif ini tidak terpakai untuk kesalahan tidak boleh dikompaun (non-compoundable, NC). Tawaran pengurangan juga tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30.
"Pihak JSPT menggalakkan orang ramai untuk menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Disember 2025, sekali gus menyokong usaha kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat," katanya.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 