Pasukan Koir SK Taman Tun Dr Ismail Raih Dua Emas, Satu Perak Di Malaysian Choral Eisteddfod 2025
Les Chanteurs Senior yang beraksi dalam dua kategori dan pertama kali menyertai kategori B5: Pop Vocal Ensemble turut meraih emas.
Cover image via Astro AwaniFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pasukan koir Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Les Chanteurs, sekali lagi mencatat kejayaan gemilang bagi negara
Ia selepas mereka meraih dua pingat emas dan satu perak pada Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) 2025 – International Choir Festival (ICF) yang diadakan dari 5 hingga 9 November.
Menerusi laporan Astro Awani, mereka mewakili dua kategori, senior dan junior, Les Chanteurs mempersembahkan persembahan yang memukau dan penuh keunikan, menonjolkan teknik vokal halus serta gaya persembahan yang berbeza daripada yang lain, sekaligus memikat perhatian juri.
Apa yang lebih mengagumkan, Les Chanteurs Senior, yang buat julung kali menyertai kategori B5: Pop Vocal Ensemble dan turut beraksi dalam dua kategori, berjaya membawa pulang pingat emas.
Walaupun berdepan pesaing yang lebih berpengalaman, bakat muda mereka menyerlah dan menarik pujian penonton, sekaligus meneguhkan lagi reputasi sekolah di pentas antarabangsa.

Les Chanteurs Senior bawa pulang anugerah emas bagi kategori B5: Pop Vocal Ensemble dalam Festival Koir Antarabangsa Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) 2025.
Image via Astro AwaniKejayaan bukan sahaja hasil bakat semula jadi, tetapi juga dedikasi, kerja keras dan kesungguhan yang konsisten
Dibarisi 19 murid berusia 10 hingga 12 tahun, Les Chanteurs Junior membawakan dua lagu, Rise Up dan Seindah Biasa, hasil gubahan Wong Shen Vee, meraih perak bagi kategori Young Children (Open) serta Anugerah Khas Juri – Artistic Interpretation of Malaysian Music.
Persembahan mereka diiringi Mohd Fairuz Zamani (piano) dan Ruviyamin Ruslan (perkusi). Konduktor Rabi'atul Raba'ah Baharudin menzahirkan kebanggaan terhadap disiplin, tumpuan dan semangat murid-muridnya.
"Sebagai tenaga pengajar dan konduktor bagi tahun kedua ini, saya berasa amat berbangga dengan perkembangan serta pencapaian yang telah ditunjukkan kumpulan.
"Kebanyakan ahli bukan dalam kalangan murid yang menerima pendidikan muzik formal, namun melalui kesungguhan, daya tumpuan dan disiplin tinggi, mereka berjaya menampilkan prestasi yang amat membanggakan," katanya.

Wakil Les Chanteurs Senior mempamerkan anugerah emas dan sijil pencapaian bagi kategori B5: Pop Vocal Ensemble, terdiri daripada (dari kanan) Zoe Zef, Wan Emma Rose Wan Mohd Fyzaal, Ayra Asnan dan Audi Noah Khair Azli Khairi.
Image via Astro Awani
Les Chanteurs Junior yang memenangi perak turut menerima anugerah khas juri.
Image via Astro AwaniLes Chanteurs Senior pula, dibarisi 50 murid, meraih emas bagi kategori Young Children (Championship) menerusi persembahan When You Believe dan Irama Warisan Kita (gubahan Wong Shen Vee), termasuk buat julung kali menyertai kategori B5: Pop Vocal Ensemble. Konduktor Azahar Abdullah menegaskan kejayaan itu hasil kerja keras, disiplin dan dedikasi ahli pasukan.
"Saya amat bangga dengan keupayaan penyanyi Les Chanteurs dan amat berharap kejayaan ini menjadi inspirasi pasukan untuk lebih berjaya bukan sahaja bersama Les Chanteurs tetapi dalam bidang masing-masing.
"Usaha gigih mereka benar-benar terserlah ketika pertandingan. Kejayaan mereka bukan sahaja hasil bakat semula jadi, tetapi juga dedikasi, kerja keras dan kesungguhan yang konsisten," katanya.
Penganjuran MCE – ICF 2025 menghimpunkan juri antarabangsa dari Malaysia, Kanada, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong, Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Belanda dan Filipina, dengan acara diadakan serentak di Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dan Menara KEN Taman Tun Dr Ismail.
Untuk pengetahuan anda, pada MCE-ICF tahun lalu, Les Chanteurs Senior dan Junior mengharumkan nama negara dengan masing-masing meraih pingat emas dan perak.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



