Pasangan Doktor Pilih Hidup Minimalis, Tinggal Berdua Dalam Sebuah Bilik 45 Kaki Persegi
Keputusan itu membuka lembaran baharu yang lebih damai, ringan dan teratur dalam kehidupan mereka.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Walaupun menetap dalam ruang kediaman berkeluasan hanya 45 kaki persegi dan memiliki tidak lebih daripada tujuh helai pakaian, sepasang doktor membuktikan bahawa kebahagiaan tidak bergantung kepada jumlah harta atau keluasan ruang
Bagi Dr Amirah Alieya Mohammad, 36, dan suaminya, Dr Muhammad Aiman Salahuddin, 38, keputusan untuk mengamalkan gaya hidup minimalis membuka lembaran baharu yang lebih damai, ringan dan teratur dalam kehidupan mereka.
Menerusi laporan Harian Metro, Dr Amirah berkata, idea untuk mengamalkan gaya hidup 'frugal minimalist' itu mula tercetus sejak zaman sekolah.
"Ketika itu, saya kurang yakin dan dari situ cuba untuk buktikan kepada orang ramai yang saya ni seorang yang 'berjaya.'
"Disebabkan itu, saya mula memakai baju yang mahal dan beg yang mahal.
"Walaupun berbuat begitu, saya tetap berasa tidak gembira dan kesihatan mental saya sangat teruk," katanya.

Kebanyakan aspek dalam hidupnya juga sudah bertukar menjadi minimalis
Berpegang teguh pada prinsip hidup ringkas dan bebas daripada beban material, Dr Amirah Alieya Mohammad, 36, terus menghampiri makna sebenar ketenangan.
Beliau mendedahkan bahawa permulaan perjalanan minimalisnya bermula pada 2017.
Malah, pada awal tahun ini, beliau dan suaminya, Dr Muhammad Aiman Salahuddin, 38, mengambil langkah lebih drastik apabila berpindah ke sebuah bilik di klinik yang mereka kendalikan sendiri selepas sebelumnya menetap di sebuah studio apartment kecil.
"Sebelum ini kami menyewa di 'studio apartment' yang kecil dan kemudian memutuskan untuk kecilkan lagi ruang bilik kami," katanya.
Menurut Dr Amirah, antara cabaran terbesar ketika beralih kepada gaya hidup minimalis ialah rasa takut untuk tertinggal trend semasa, terutama apabila melihat rakan-rakan lain terus menikmati gaya hidup moden dan mewah.
"Saya dah tinggalkan beg berjenama, apartmen yang besar dan segala benda-benda yang mahal.
"Bagaimanapun, saya tetap dengan pendirian iaitu mahu hidup dalam keadaan minimalis yang membuatkan saya bertahan sampai sekarang," katanya.

Pendekatan itu turut diterjemahkan ke dalam setiap aspek kehidupannya daripada pakaian, aksesori hingga penggunaan gajet, semuanya kini diminimumkan.
"Selain hanya mempunyai tujuh helai baju sahaja, setiap jenis kasut juga saya tetapkan hanya satu sahaja bilangannya.
"Untuk gajet pula, saya hanya menggunakan satu jenis tablet sahaja untuk menonton filem, membaca buku serta membuat kerja-kerja secara dalam talian dan tidak menggunakan buku langsung," katanya.
Berkongsi petua kepada mereka yang ingin memulakan gaya hidup minimalis, Dr Amirah menegaskan kepentingan bermula secara kecil dan konsisten.
"Apabila kita sudah biasa untuk menyingkirkan barang-barang yang tidak lagi digunakan, ia akan menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita.
"Selain itu, tujuan yang betul ingin menyingkirkan barang juga antara salah satu petua yang penting supaya perbuatan kita ini tidak berhenti separuh jalan," katanya.

Bagi Dr Amirah, kehidupan sederhana memberi lebih makna daripada apa-apa bentuk kemewahan.
Hari-harinya kini lebih tersusun dengan bekerja, memasak hidangan ringkas di pantri klinik dan mengulang pakai pakaian beberapa kali seminggu demi efisiensi.
"Untuk kehidupan seharian pula, saya akan mula bekerja dahulu memandangkan klinik saya buka 24 jam.
"Selepas bekerja, saya akan masak makanan yang mudah seperti nasi goreng dan spageti di pantri klinik.
"Untuk baju pula, kami akan mengulang pakai baju itu sebanyak dua kali seminggu disebabkan kuantiti baju kami yang agak sedikit dan membasuhnya di dobi berhampiran," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu lebih banyak dipacu faktor kesihatan mental dan emosi berbanding kewangan.
"Kehidupan minimalis ini membuat saya lebih tenang dan saya dapat merawat pesakit saya lebih baik tanpa ada rasa tekanan dengan hal-hal lain.
"Saya juga dapat melayan pesakit saya dengan gembira dan perniagaan pun berjalan dengan lebih lancar," katanya.
Namun tidak dinafikan, pendekatan itu juga membawa kesan positif terhadap kewangan mereka kerana lebih mudah untuk menyimpan kecemasan, simpanan jangka panjang serta melakukan pelaburan.
"Suami saya sendiri pun adalah seorang minimalis sejak zaman dia bujang lagi.
"Apabila kami hidup dalam keadaan minimalis ini, ia bukanlah sesuatu benda yang asing.
"Kami akan sama-sama menambah baik kehidupan dari segi kewangan," katanya.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



