Orang Ramai Diingatkan Subsidi RON95 Berdasarkan Pendaftaran Kenderaan, Bukan Status Warganegara
Kenderaan pendaftaran asing hanya dibenarkan membeli RON97 atau diesel tanpa subsidi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Rakyat Malaysia yang memandu kenderaan berpendaftaran asing dilarang sama sekali daripada membeli petrol RON95
Ia memandangkan pemberian subsidi bahan api adalah berdasarkan pendaftaran kenderaan dan bukannya kewarganegaraan pemandu
Memetik laporan The New Straits Times, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Azman Adam menjelaskan bahawa sekatan ini merupakan sebahagian daripada kerangka kawalan subsidi bahan api bagi mengekang ketirisan.
"Larangan penjualan RON95 kepada semua kenderaan berpendaftaran asing, termasuk motosikal, telah berkuat kuasa sejak 17 Jun 2022 dan masih kekal sehingga kini.
"Dasar ini adalah untuk memastikan bekalan bahan api diutamakan bagi pemandu Malaysia serta mengelakkan penyalahgunaan atau salah nyata yang boleh menjejaskan kuota atau menyebabkan ketirisan," katanya.
Azman menambah bahawa sekatan tersebut menangani cabaran operasi di stesen minyak, di mana proses mengesahkan identiti pemandu boleh menjadi sukar, terutamanya apabila menggunakan aplikasi pihak ketiga.
"Walaupun harga RON95 kini telah diliberalisasikan, larangan tersebut tetap diteruskan bagi mengelakkan penyelewengan dan memastikan bekalan yang mencukupi untuk rakyat Malaysia," katanya.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Azman Adam.
Image via The New Straits TimesKenderaan pendaftaran asing hanya dibenarkan membeli RON97 atau diesel tanpa subsidi
Pengusaha stesen minyak menyatakan bahawa membenarkan pemandu Malaysia yang menggunakan kenderaan berpendaftaran asing untuk mengisi RON95 adalah tidak praktikal.
Proses pengesahan identiti secara masa nyata bukan sahaja membebankan dari segi kos dan operasi, malah terdedah kepada salah guna, terutamanya di stesen mempunyai trafik kenderaan yang tinggi.
Langkah mengekalkan kawalan berasaskan pendaftaran kenderaan berbanding kewarganegaraan pemandu bertujuan menutup ruang manipulasi oleh sindiket.

Tanpa sekatan ini, kenderaan asing boleh digunakan untuk menyedut bahan api bersubsidi bagi tujuan dijual semula atau diseludup ke luar negara.
Oleh itu, semua kenderaan pendaftaran asing hanya dibenarkan membeli bahan api tanpa subsidi seperti RON97 atau diesel pada harga pasaran bagi mengelakkan pertikaian di stesen minyak serta memudahkan tugas pengusaha.
Kerajaan menegaskan dasar ini bukanlah bersifat diskriminasi, sebaliknya satu langkah perlu bagi melindungi dana awam memandangkan subsidi bahan api menelan belanja berbilion ringgit setiap tahun.
Sebagai antara segelintir negara yang masih mengekalkan subsidi bahan api yang meluas, kawalan ketat ini amat kritikal bagi menjamin kelestarian fiskal negara dan menghalang ketirisan yang boleh merugikan ekonomi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 