“Orang Malaysia Sangat Baik” – Wanita Indonesia Terharu Dibantu Orang Ramai Lepas Pengsan Di MRT
Wanita itu yang juga bekerja di Malaysia, mengakui sangat tersentuh dengan keprihatinan rakyat tempatan.
Cover image via ThreadsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Salah satu perkara yang sering menjadi bualan pelancong asing apabila datang ke negara kita ialah sifat baik hati rakyat Malaysia
Walaupun Malaysia sebuah negara yang penuh kepelbagaian budaya, bahasa, dan latar belakang, kebanyakan pelancong mengakui mereka berasa dihargai, selesa, dan selamat ketika berada di sini.
Daripada hal kecil seperti menunjukkan arah jalan, membantu mengangkat barang, sehinggalah menawarkan makanan tempatan, layanan mesra rakyat Malaysia sering meninggalkan kenangan manis buat mereka yang berkunjung.
Tular baru-baru ini apabila seorang wanita dari Indonesia meluahkan rasa terharu apabila menerima bantuan orang ramai selepas dirinya tiba-tiba pengsan ketika berada di sebuah stesen MRT di Kuala Lumpur.

Tinggal lebih lama kerana suka dengan sikap rakyat Malaysia yang baik hati
Kejadian yang dikongsikan di media sosial itu mendapat perhatian warganet, yang rata-rata memuji sikap prihatin masyarakat Malaysia yang pantas menghulurkan pertolongan tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
Bagi wanita tersebut, pengalaman ini menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia terkenal dengan sifat baik hati dan sedia membantu ketika diperlukan.
"Saya yang pengsan dalam MRT semalam. Terima kasih kerana membantu saya. Saya amat hargai semua yang membantu.
"Saya gembira tinggal di Malaysia kerana orangnya baik-baik. Semoga Allah rahmati anda semua. Diharap kita dapat bertemu lagi untuk saya berterima kasih," katanya.
Terdahulu, menurut perkongsian oleh tehbunga.co di platform Threads, wanita berkenaan dilaporkan tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika berada dalam tren MRT.
Situasi cemas itu menyebabkan beberapa penumpang segera bertindak pantas dengan mengangkatnya keluar sebaik sahaja tren berhenti di Stesen Pasar Seni.
Pihak polis bersama kakitangan MRT turut segera tampil memberikan bantuan kecemasan. Mereka dilihat membantu menyapu air ke kepala gadis berkenaan sebelum dia kembali sedar beberapa minit kemudian, sekali gus melegakan semua yang berada di lokasi.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



